KUALA LUMPUR – Jangan jadikan media sosial sebagai platform untuk mengkritik kerajaan dan pemimpin negara.
Ingatan ini diberikan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahukan rakyat negara ini lebih prihatin dan berhati-hati dalam menggunakan media sosial.
Katanya, media sosial berupaya memesongkan realiti dan boleh memberi impak negatif jika tidak digunakan dengan cara yang betul.
“Kita negara timur, jangan terikut-ikut dengan budaya barat. Kita bertamadun, berbudi pekerti dan mempunyai nilai ketimuran tersendiri.
“Walaupun demokrasi, kita harus mengamalkan demokrasi terpimpin”, katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Nur Ramadan Parlimen Segambut di Masjid Al-Imam Al-Ghazali di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir rakyat Malaysia yang mengkritik kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO ekoran isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jumaat lepas, The Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan laporan yang mendakwa hampir US$700 juta (RM2.6 bilion) dana milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan WSJ itu dan menyifatkan ia sebagai sabotaj politik untuk menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang dipilih secara demokratik.
Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO menasihati rakyat negara ini supaya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat melalui pelbagai pemberian subsidi, bantuan dan program.
Pada majlis itu, sebanyak 500 anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan menerima wang tunai RM150 sumbangan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Wilayah Persekutuan. – BERNAMA