DALAM keterujaan, hati berdebar di sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Istanbul, Turki dalam misi menyampaikan bantuan pakaian musim sejuk kepada anak pelarian Syria di sana.
Walaupun destinasi sebenar bukanlah di kem-kem pelarian dalam sempadan Syria, namun banyak perkara yang difikirkan oleh Pengasas The Telekung Project (TP) Nor Azila Abdul Aziz terutamanya untuk membantu mangsa-mangsa pelarian Syria.
Menceritakan kunjungannya ke sana, Azila yang menerajui badan bukan kerajaan (NGO) itu berkata tidak perlu jadi militan atau berbunuh-bunuh untuk membantu pelarian Syria.
“Malah kita tidak perlu masuk pun ke negara yang bergolak itu. Banyak cara kita boleh berjihad,†tambahnya.
Azila dan rakan-rakan sukarelawan dari Malaysia melakukannya melalui projek “Winter Aid for Ukhwah†di bahagian Turki di sempadan kedua-dua negara itu.
“Tanpa perlu senjata peperangan, kami menggunakan senjata akal dan kasih sayang yang boleh digunakan dengan maksimum,†jelas beliau.
Kanak-kanak mangsa perang
Azila bersama beberapa sukarelawan telah mengunjungi sempadan Turki-Syria pada Januari lepas untuk menyampaikan sumbangan soft toys (permainan berbahan lembut), pakaian musim sejuk serta pakaian kanak-kanak yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia.
Urusan perjalanan mendapat kerjasama International Humanitarian Relief Foundation dan iHH Insani Yardin Vakfi di Turki. Pakaian, permainan dan kesemua bantuan telah dihantar terlebih dahulu kepada yayasan berkenaan bagi memudahkan misi itu.
Selain penerbangan kira-kira 11 jam, mereka memandu selama beberapa hari dari Istanbul ke Kilis dan Reyhanli yang terletak di sempadan Turki-Syria.
Jarak Istanbul ke Kilis, sebuah bandar di selatan Turki melebihi 1,200km manakala Reyhanli pula terletak kira-kira 150km dari Kilis.
“Walaupun perjalanan ke Kilis sepatutnya hanya memakan masa kira-kira 13 jam, kami mengambil masa tiga hari kerana singgah di beberapa tempat. Selesai di Kilis, kami ke Reyhanli,†jelas Azila.
Rombongan sukarelawan itu melawat enam buah sekolah termasuk rumah perlindungan anak-anak yatim bagi mengagih-agihkan soft toys, pakaian musim sejuk serta pakaian kanak-kanak.
Mereka hanya melawat sekolah-sekolah yang terletak dalam sempadan Turki kerana tidak dibenarkan masuk ke kem-kem pelarian di bahagian Syria.
Setiap hari, pintu sempadan dibuka dari pukul 5.00 pagi hingga 5.00 petang bagi memberi peluang pelarian Syria mendapatkan bekalan makanan serta keperluan manakala kanak-kanak pula menghadiri sekolah.
Azila sangat kagum dengan disiplin penghuni kem pelarian Syria kerana walaupun dibenarkan masuk ke Turki untuk waktu terhad, mereka tidak melampaui batas atau menimbulkan huru-hara. Selesai urusan mereka kembali ke kem masing-masing.
Melukis dengan jari
Selain menyampaikan bantuan, mereka menjalankan aktiviti dengan kanak-kanak di situ. Antaranya adalah aktiviti ekspresi seni di rumah perlindungan anak yatim piatu di Khatayn, Reyhanli.
“Bagi aktiviti ini, saya memilih pokok yang menjadi simbol kedamaian. Saya meminta mereka melukis dengan hanya menggunakan jari-jemari menggantikan berus lukisan,†kata Azila.
Kelima-lima jari, masing-masing diberi nama berdasarkan ahli keluarga, bermula dengan ‘ayah’ untuk ibu jari, ‘ibu’ untuk jari telunjuk, ‘abang’ untuk jari hantu, ‘kakak’ untuk jari manis dan ‘saya’ (dirinya) untuk jari kelingking, bagi mewujudkan perasaan kekeluargaan. Warna-warna putih, merah, hijau dan hitam seperti yang terdapat pada bendera Syria digunakan untuk lukisan itu.
“Saya meminta mereka menggunakan jari bapa dan warna hitam untuk melukis angka satu yang juga sebagai batang pokok, sambil menjelaskan bahawa Allah hanya satu, dan bahawa bapa adalah kekuatan keluarga,†jelas Azila.
Seterusnya, jari ibu menggunakan warna hitam juga untuk melukis lima dahan sebagai lambang solat lima waktu. Ia berdasarkan warna hitam sebagai maksud masalah manakala solat untuk memohon pertolongan Allah.
“Cantikkah pokok tanpa daun? Kanak-kanak itu terus menjawab tidak. Apakah yang mewarnai kehidupan kita? Lalu mereka melukis daun pada pokok itu menggunakan warna hijau melambangkan abang dan kakak,†tambahnya.
Kanak-kanak itu hendaklah melengkapkan lukisan masing-masing dengan warna merah, menggunakan jari kelingking yang melambangkan dirinya.
Ekspressi seni jelmakan perasaan
Berdasarkan pengalaman beliau sebagai kaunselor di sekolah, Azila sebenarnya mahu mencungkil perasaan kanak-kanak itu berikutan kekalutan yang dilalui di negara mereka.
Walaupun teknik, warna dan kertas yang diberikan kepada setiap kanak-kanak adalah sama, lukisan yang dihasilkan berbeza kerana setiap daripada mereka mempunyai cerita tersendiri.
Mereka melukis pokok seperti yang diminta namun penggunaan warna merah yang dilukis berbeza di lukisan. Selain melukis warna merah sebagai buah, ada yang melukis warna merah di batang pokok, di bahagian tanah atau di perdu pokok itu.
“Bila ditanya, kanak-kanak itu memberitahu kami melalui penjaganya bahawa warna merah di tanah bermaksud darah ibu bapanya,†tambah Azila menceritakan mengenai Ali, enam tahun, yang masuk dari sempadan kira-kira tiga minggu sebelum itu dan masih dalam keadaan trauma,†kata Azila.
Menurut beliau, ada juga lukisan yang lebih positif, antaranya oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang telah lebih setahun tinggal di situ.
“Psikologi anak ini berbeza. Dia bertanya jika boleh menggunakan warna lain. Dia juga melukis langit dan matahari.
“Anak ini memberitahu dia mahu kembali ke Syam dan mahukan Syam kembali aman seperti dahulu. Maknanya dia tahu keadaan Syam sebelum dan selepas pergolakan,†kata Azila.
Ada kanak-kanak yang masih trauma setelah melihat ibu bapa mereka dibunuh di rumah, ada pula yang ibu bapa diheret dan dibiarkan tergantung di pokok.
Lukisan jadi fridge magnet
Azila percaya jika mendapat pembelaan serta diberikan pendidikan dan kasih sayang sepertimana di rumah perlindungan itu, kanak-kanak itu akan dapat mengharungi kehidupan dengan lebih tabah.
Berhubung komunikasi, Azila berkata, “Tidak ada masalah. Penampilan, riak wajah dan gerak geri kita penting. Saya guna bahasa isyarat selain dibantu sukarelawan Turki dan penjaga kanak-kanak itu. Ada kalanya tersasul bercakap bahasa Melayu dan ketawa sendiri.â€Â
Selesai aktiviti itu, fikiran Azila berfikir mencari cara untuk terus membantu kanak-kanak Syria.
“Saya tidak mahu misi kami tamat di sini. Lukisan ini boleh digunakan untuk menjamin kesinambungan bantuan kepada mereka.
“Di kala mereka terus berjuang, bantuan kita juga mesti berterusan. Apa yang dilakukan di Syria hendaklah diteruskan demi manfaat mereka,†kata Azila yang juga Graduan Sarjana Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).
Jual fridge magnet
Selesai misi di sempadan, Azila sempat meluangkan masa menikmati keindahan kesenian seramik Islam di Istanbul
Ketika singgah membeli cenderahati, Azilah berjumpa seorang arkitek yang juga menjalankan perniagaan mentransformasi pelbagai bentuk seni masjid serta kaligrafi menjadi cenderahati seperti fridge magnet dan dijual kepada pelancong.
“Saya bertanyakan arkitek itu jika boleh memindahkan lukisan kanak-kanak itu menjadi fridge magnet,†cerita Azila sambil menyambung bahawa cadangannya disambut baik oleh arkitek itu yang mengakuinya sebagai satu penghormatan.
Bertitik tolak dari situ, Azila berusaha merealisasikan rancangannya sebaik pulang ke Malaysia. Wang simpanannya dijadikan modal.
Kesemua lukisan itu diimbas dan diemelkan kepada arkitek berkenaan bagi menghasilkan 3,000 keping ‘fridge magnet’ dan dihantar semula ke Malaysia untuk urusan pembungkusan dan penjualan.
Usaha Azila tidak sia-sia, ‘fridge magnet’ yang dijual dengan harga RM30 itu mendapat sambutan dan hasil jualan digunakan untuk terus membantu pelarian di sempadan Turki-Syria semula.
Perjuangan sebenar adalah memberi orang cakna tentang apa yang berlaku, ambil peduli tidak bermaksud menyertai militan atau seumpamanya!
“Banyak lagi boleh dilakukan, kanak-kanak yang dilawati itu hanya sejumlah kecil berbanding keseluruhannya yang menjangkaui 2.5 juta kanak-kanak pelarian ke Turki,†katanya. – BERNAMA