KUALA LUMPUR – Pengurusan Besraya (M) Sdn. Bhd. (Besraya) akan memberi diskaun tol bagi kenderaan kelas 1 di semua Plaza Tol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 17 Julai ini.
Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, pemberian diskaun itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi sehingga 12.00 tengah malam.
“Pengguna yang menggunakan Lebuhraya Sungai Besi akan menikmati diskaun sebanyak 20 sen di Plaza Tol Mines dan 40 sen di Plaza Tol Loke Yew,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Wan Salwani berkata, pemberian diskaun itu juga inisiatif tanggungjawab korporat bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurutnya, Besraya juga ingin meringankan beban pengguna lebuh raya yang telah banyak berbelanja untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kami juga ingin menyarankan kepada orang ramai yang ingin ke Selatan agar menggunakan laluan di Persimpangan Bertingkat Balakong dan seterusnya menggunakan Leburaya LEKAS bagi perjalanan yang lebih selesa dan bagi mengelakan kesesakan.
“Manakala bagi mereka yang ingin ke Pantai Timur, bolehlah menggunakan laluan di Plaza Tol Loke Yew untuk ke MRR2,” katanya. – MYNEWSHUB.CC