SEORANG lelaki dari Australia menjadi perbualan masyarakat sana atas usaha murninya membantu golongan gelandangan setiap minggu.
Nasir Sobhani, tukang gunting rambut di Medusa Hair Saloon menghabiskan cutinya setiap minggu untuk memotong rambut gelandangan secara percuma.
Lelaki tersebut bekerja 6 hari seminggu dan menghabiskan cutinya dengan membuat amal tanda bersyukur atas kesihatan dirinya yang semakin baik selepas terjebak dalam kancah dadah.
Tukang gunting rambut berusia 26 tahun itu kini menjadi subjek dokumentari terbaru PLGRM yang membawakan kisah inspirasinya kepada masyarakat.
Nasir yang bergelut untuk menentang ketagihan dadah satu masa dahulu kini ingin memberi sokongan serta cuba menyebarkan pengaruh positif kepada masyarakat yang menghadapi masalah sama.
Memang bagus sangat niat dan usaha murni Nasir itu, orang yang selalu membantu orang lain ternyata tidak akan mengalami apa-apa kerugian malah lebih menguntungkan dari dalam pelbagai aspek, salute!  – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Pitt