PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap bekas pengawal keselamatan warga Indonesia kerana membunuh pegawai Ambank Norazita Abu Talib, dua tahun lepas.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan La Ode Ardi Rasila terhadap sabitan dan hukuman mati.
Aziah berkata mahkamah mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi bahawa La Ode, 38, adalah bersalah melakukan kesalahan itu.
“Sabitannya adalah betul. Sabitan dan hukuman mati dikekalkan,” katanya.
Mahkamah turut mengekalkan sabitan dan hukuman mati bagi pertuduhan kedua iaitu melepaskan tembakan menggunakan pump gun ketika melakukan rompakan di bank itu dengan niat untuk menyebabkan kematian Norazita.
Dua lagi hakim yang bersidang Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dan Datuk Abdul Rahman Sebli. – BERNAMA