KUALA LUMPUR – Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan bangkit semula di Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia dari 11-16 Ogos ini.
Keyakinan itu disuarakan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen walaupun Chong Wei tewas kepada pemain nombor satu dunia, Chen Long di suku akhir Terbuka Taiwan minggu lalu.
Menurut Frost, Chong Wei sudah membuktikan kemampuannya masih setara dengan pemain terbaik dunia walaupun baru kembali beraksi selepas menamatkan penggantungan lapan bulan akibat kesalahan doping Mei lepas.
“Dia masih mempunyai kualiti untuk menewaskan Chen Long yang juga juara dunia dan pemain terbaik dunia ketika ini. Chong Wei menang set pertama dengan begitu meyakinkan dan hampir menang di set kedua.
“Saya cukup positif dengan kemampuannya dan dia tidak terjejas dengan kekalahan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Pemain berusia 32 tahun itu tewas kepada musuh utamanya, Chen Long dari China 21-17, 20-22, 13-21 dalam perlawanan selama 77 minit di Taipei Arena, Jumaat lepas.
Chong Wei kini perlu fokus untuk Kejohanan Dunia bagi memperbaiki rankingnya yang kini di posisi 65, sambil mengutip mata kelayakan Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016.
Selepas menjuarai Terbuka Kanada dan Amerika Syarikat, Chong Wei pasti mampu mengutip lebih banyak mata sekiranya mara lebih jauh di Terbuka Taiwan.
Mengulas sasaran bagi pemain negara di Jakarta nanti, Morten menjelaskan fokus utama ketika ini adalah memperbaiki mutu permainan badminton negara selangkah demi selangkah, bukannya hanya untuk kejohanan tertentu sahaja.
“Pasti semua mahukan keputusan yang baik dan tentunya ia sesuatu yang menarik untuk meraikan Chong Wei sebagai juara dunia manakala pemain lain melangkah ke suku akhir.
“(Tapi) kita perlu merangkak dan berjalan sebelum berlari,” katanya.
Selain Chong Wei, bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli adalah seorang lagi pemain yang akan membawa cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Dunia itu.
Untuk rekod, Chong Wei adalah naib juara bagi tiga edisi terakhir iaitu pada 2011, 2013 dan 2014 tetapi pencapaian tahun lalu itu dibatalkan kerana kesalahan doping yang dikesan sewaktu kejohanan berlangsung di Copenhagen.
Tiada Kejohanan Dunia diadakan pada 2012 kerana Sukan Olimpik. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=3Yt1MqPYUaU