KUALA LUMPUR – Cuaca pada keseluruhannya diramal baik pada pagi hari raya yang dijangka disambut Jumaat ini.
Menurut Jabatan Metereologi Malaysia, bagaimanapun hujan diramal turun di beberapa tempat di kawasan pantai di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Sementara pada sebelah petang, ribut petir dijangka berlaku di Pahang, Kelantan dan Terengganu manakala hujan sementara diramal di satu dua tempat di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.
“Hujan juga dijangka berlaku di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Miri dan Limbang,” katanya.
Menurut jurucakap jabatan itu, cuaca di kesemua bahagian di Sabah dilapor baik pada sebelah pagi namun dijangka hujan di beberapa bahagian pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan pada sebelah petang.
Pada waktu malam pula, beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, bahagian pedalaman dan pantai barat di Sabah dijangka mengalami hujan.
Jabatan Meterologi melaporkan cuaca di negeri dan bahagian lain dijangka baik.
Bagi hari raya kedua, jurucakap jabatan itu memaklumkan cuaca di kesemua negeri dan bahagian adalah baik pada sebelah pagi kecuali di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka hujan.
Sementara itu ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di beberapa kawasan di Pahang, Kelantan dan Terengganu, manakala Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dijangka mengalami hujan sementara di beberapa kawasan.
“Di Sarawak, beberapa bahagian di Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Miri dan Limbang dijangka hujan. Keadaan sama juga dijangka berlaku di beberapa bahagian pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan di Sabah,” kata jurucakap itu.
Pada waktu malam pula, beberapa tempat di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang serta beberapa bahagian pedalaman dan Pantai Barat di Sabah dijangka mengalami hujan.
Sementara cuaca di negeri serta bahagian lain diramal baik. – BERNAMA