BANK Negara Malaysia (BNM) sedang mencari Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan yang merupakan bekas Pengarah Eksekutif syarikat pelaburan strategik kerajaan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut laman Facebook rasmi bank pusat tersebut pada Jumaat, mereka berdua dikehendak bagi membantu proses siasatan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.
BNM meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai lokasi kedua-dua individu terbabit untuk membuat laporan di balai polis berhampiran atau menghubungi terus BNM di talian 03-26988044 sambungan 8544/7610.
Casey Tang Keng Chee pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif di bahagian pembangunan perniagaan 1MDB selama tiga tahun sehingga Mac 2011. Jawatan beliau kemudiannya disandang oleh Jasmine Loo Ai Swan.
Kedua-dua mereka beralamat terakhir di Kuala Lumpur. Kenyataan BNM bagaimanapun menyebut, tiada ganjaran ditawarkan atas maklumat diberikan orang awam.
– MYNEWSHUB.CC