PEMAIN drum band AC/DC, Phil Rudd terlepas daripada hukuman penjara atas kesalahan mengambil dadah dan mengugut untuk membunuh seorang pekerjanya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Daerah Tauranga, New Zealand selepas Phil mengaku bersalah di atas dua pertuduhan tersebut.
Phil, 61, sebaliknya dijatuhi hukuman tahanan dalam rumah selama lapan bulan berkuatkuasa ketika dia ditahan April lalu.
Pemain drum itu walau bagaimanapun bakal berdepan hukuman penjara sekiranya dia gagal membuang masalah ketagihan dadah yang dialaminya.
Dia juga sepatutnya berdepan hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun atas kesalahan memeras ugut untuk membunuh salah seorang pekerjanya.
Namun, pihak pembelaan telah berjaya mendapatkan perintah hukuman tahanan dalam rumah untuk Phil.
Menurut Hakim Thomas Ingram, Phil akan sentiasa diawasi dan akan dipenjarakan sekiranya dia kembali mengambil dadah.
Band AC/DC yang kini dalam konsert jelajah Rock or Bust telah menggantikan peranan yang ditinggalkan Phil dengan Chris Blade.
Phil ditahan di kediamannya di Tauranga November tahun lalu selepas pihak berkuasa menemui bukti bahawa dia memeras ugut untuk membunuh salah seoran daripada pekerjanya.
Pemuzik itu dikatakan berang dengan perjalanan majlis pelancaran album solonya Head Job yang sekaligus menyebabkannya mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan kepada bekas pekerjanya itu. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR
AC/DC drummer Phil Rudd pleads guilty
https://www.youtube.com/watch?v=Xd5hg2Htbqo