NEGARAWAN ini pasti diingati seluruh isi Malaysia kerana jasa dan kejayaan yang dibawa sepanjang tempoh perkhidmatannya selama 22 tahun, dari Julai 1981 sehingga Oktober 2003.
Transformasi dunia maya dengan pengenalan Koridor Raya Multimedia (MSC), pembinaan KLCC dan Putrajaya, perintis jenama kereta nasional Proton merupakan antara kegemilangan dibawa Bapa Pemodenan tersebut.
Selain dari kejayaannya melakukan anjakan terhadap ekonomi dan teknologi di Malaysia, beliau turut dikenang kerana kelantangannya mengkritik dasar-dasar yang dibawa beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Israel dan United Kingdom.
Senang cakap, beliau berjaya berdiri di mata-mata pemimpin dunia yang lain sebagai seorang individu yang berpendirian.
Beliau lah individu bernama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Hormat Tun M, Najib Takkan Serang Peribadi Mantan PM Itu
Namun demikian, selama meninggalkan tampuk pemerintahan kira-kira 12 tahun, Tun M dilihat tetap berada di hadapan kamera dan belakang rostrum mengkritik dan membelasah mana-mana pihak termasuk pemimpin penggantinya atas alasan tidak berpuas hati dengan kepimpinan individu tersebut.
Fitnah? Tidak sama sekali. Kalau tak percaya, kita imbas kembali bagaimana Tun M mengangkat mantan PM kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk menggantikannya, namun hanya sempat memegang jawatan PM selama enam tahun, akhirnya Abdullah atau Pak Lah terpaksa tunduk terhadap desakan Tun M dan pihak-pihak lain untuk turun jawatan.
Ramai yang beranggapan, Mahathir tidak berpuas hati dengan prestasi Pak Lah sebagai PM pasca Pilihan Raya Umum 2008 apabila Barisan Nasional (BN) telah hilang dua pertiga majoriti dalam Dewan Rakyat dan terpaksa menyerahkan empat negeri kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
Sampai satu tahap, Tun M, pada 19 Mei 2008, sanggup keluar UMNO dan berjanji untuk kembali dalam parti itu setelah Pak Lah meletak jawatan!
Ingatkan setelah pengunduran Pak Lah dan pelantikan Datuk Seri Najib sebagai PM, Tun M akan diam dan tidak menganggu urusan pentadbiran kerajaan. Nampaknya, ia hanya satu mimpi.
Beberapa tahun selepas Najib memerintah, Tun M kembali dengan taktik serangan sama, malah sejak akhir-akhir ini, dia dilihat semakin ganas melontarkan telahan tanpa bukti kukuh.
Pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Najib tanpa bukti kuat dan hanya bersandarkan maklumat yang diterimanya. Malah, Tun M turut tegar menjadikan media antarabangsa sebagai platform suaranya didengari, lantas memberi impak negatif kepada imej Najib dan Malaysia.
Lihatlah bagaimana Tun M sanggup menulis sepucuk surat terbuka kepada editor akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times dan mengecam pentadbiran negara sendiri, baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, hari ini pula, dalam wawancara bersama British Broadcasting Corporation (BBC) tentang isu berkenaan, Tun M turut menggesa supaya Najib mendedahkan akaun peribadinya sebagai usaha untuk membuktikan bahawa dirinya bersih dari tuduhan menggelapkan dana 1MDB sebanyak RM2.6 bilion.
Kalau diimbas kembali, ketika zaman pemerintahannya dahulu, Mahathir dikenali sebagai anti-media barat kerana kebebasan yang diamalkan mereka.
Bagi media di sana, mereka percaya kepada absolute freedom iaitu kebebasan mutlak dalam bersuara dan menyatakan pendapat melalui penulisan dan semestinya ia kontra dengan Tun M yang mengaplikasikan kawalan media ketika beliau berkuasa.
Ujar beliau dalam satu majlis di Putrajaya pada 2007, ” Kebebasan mutlak tak wujud, yang mana kebebasan perlu diminimakan dengan keperluan tertentu oleh masyarakat atau persekitaran. Konsep sama diaplikasikan kepada media yang mana kebebasan media tidak sepenuhnya.”
Malah, dalam  ucapannya di Perhimpunan Organisasi Agensi Berita Asia di Kuala Lumpur pada 1981, beliau mengkritik media barat yang dikuasai oleh pihak-pihak tertentu untuk melampiaskan agenda mereka secara tersebunyi terhadap sesuatu negara.
Ujar beliau, “Media antarabangsa barat yang dikawal pihak-pihak tertentu telah merosakkan kerajaan banyak negara membangun sehingga ada yang digulingkan. Apa yang mengecewakan adalah kerajaan yang mengambil alih kurang demokratik daripada yang sebelumnya. Mana-mana kerajaan yang mengambil alih, tidak lama selepas itu akan menjadi subjek media barat untuk dikutuk.”
Mungkin tak ramai yang tahu, tetapi Tun M pernah terkelompok dalam 10 worst enemies of he press yang diberikan oleh Committee to Protect Journalists, sebuah organisasi membela hak-hak wartawan dari Amerika Syarikat kerana tindakannya yang menyekat hak kewartawanan ketika memegang jawatan PM.
Itu cerita ketika beliau menjawat jawatan PM dulu. Sekarang semua itu telah berubah 360 darjah setelah beliau hanya menjadi pemerhati di luar gelanggang politik. Cuba anda fikir, kalaulah dia berada di tempat Najib ketika ini, adakah Tun M hanya akan tunduk pada asakan media pro-pembangkang? Sudah semestinya tidak!
Malah, dalam satu kenyataan dari dari Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abdul Jalil Ali, beliau menyifatkan Tun M sebagai pengecut dan memuji Najib kerana kebebasan media yang diamalkan pemimpin itu.
Kini ramai yang tertanya-tanya, apa sudah jadi terhadap pendirian Tun M dahulu bahawa media antarabangsa merupakan alat propaganda pihak-pihak tertentu dan tegar menggunakan medium tersebut untuk hasrat yang sama?
Adakah Tun M sudah ‘nyanyuk’ dengan kenyataan yang diungkapkannya dahulu atau dia tegar menjilat ludah sendiri demi kepentingan politik?
Sayangnya, demi motif tertentu, negarawan itu kini tidak lagi dihormati seperti dahulu. Buat sesetengah pihak, dia dilihat sebagai mantan Perdana Menteri yang masih sayang pangkatnya manakala pemimpin pembangkang menjadikan dia sebagai pemudah cara menjatuhkan kerajaan sedia ada.
– MYNEWSHUB.CC
All The Best In Finding My Hidden Millions – Tun Dr Mahathir