KOTA KINABALU – Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap penasihat DAP Lim Kit Siang berhubung kenyataannya yang didakwa memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden NGO itu yang dikenali Pakatan Badan Bukan Kerajaan Pro Barisan Nasional, Zulkarnain Mahdar berkata kenyataan Lim dua hari lalu yang menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membuka semula kes pembunuhan pengasas AmBank, Hussein Ahmad Najadi pada Julai 2013 kononnya ada kaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad, adalah berniat jahat.
“Kenyataan yang dikeluarkan itu secara jelas dan terang adalah tuduhan liar dan berniat jahat terhadap Perdana Menteri dan 1MDB yang mengaitkannya dengan kes pembunuhan bekas pengasas AmBank itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Zulkarnain berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga menafikan dakwaan itu dan tidak mempunyai kaitan dengan isu 1MDB.
Katanya pihaknya juga meminta polis mengambil tindakan terhadap portal The Malaysian Insider yang mengeluarkan artikel dua hari lepas yang didakwa memfitnah perdana menteri.
Artikel portal berkenaan boleh menimbulkan provokasi dalam kalangan rakyat di negara ini, katanya. – BERNAMA