TERKEJUT. Itu reaksi yang diluahkan seorang gadis di laman sosialnya ketika menaiki kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, beberapa hari lalu.
Mana taknya, pada saat dia memerlukan bantuan untuk menurunkan begnya dari tempat simpanan, muncul seorang figura dikenali ramai iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menghulurkan pertolongan.
Melalui perkongsian di akaun Facebook peribadinya, si empunya diri Jasmine Chan Kit Mun menceritakan detik-detik tersebut.
“Beg saya diletakkan selang beberapa tempat duduk di belakang dan saya benar-benar memerlukan seseorang untuk membantu menurunkannya ketika kapal terbang mendarat. Siapa sangka, seorang lelaki budiman muncul menghulurkan pertolongan dan ya, saya sangat terkejut kerana individu itu adalah Y.B Khairy Jamaluddin yang mengambil penerbangan kelas ekonomi seperti kami. Rasa malu pula bila seorang menteri membantu mengangkat beg saya.”
Status berkenaan mendapat perhatian warga maya, dan sehingga kini ia menerima lebih seribu likes dan puluhan perkongsian semula di media sosial.
Jelas sekali, menteri yang terkenal dengan slogan “tall, dark and handsome” itu mempunyai peminat tersendiri, bukan sahaja kerana kredibilitinya sebagai menteri tetapi sikap rendah diri dan mesra dengan semua lapisan masyarakat. Tahniah, KJ! – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
KJ Berlakon Filem Pendek Ikal Mayang
https://www.youtube.com/watch?v=doNm11qnw8o