KUALA LUMPUR – Pemuda PAS mendakwa langkah kerajaan menggantung permit surat dua akhar The Edge mencalar hak demokratik dan kebebasan media.
Ketuanya,Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, tindakan saman ke atas Pengarah Urusan Harakah, Dr. Rosli Yaakob dan Ketua Pengarang Portal Harakahdaily, Taufek Yahya juga tidak wajar.
“Hal ini menunjukkan kerajaan begitu terburu-buru bertindak dalam menghukum aktivisme media dalam negara,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Mohamad Abduh turut membandingkan tindakan yang masih belum diambil ke atas media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) berikutan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa dari 27 Julai ini susulan laporan yang disiarkan berkaitan 1MDB.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, penggantungan dikenakan kerana penerbitan artikel-artikel yang dikatakan mempunyai motif-motif tertentu.
Susulan itu, Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya itu dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah. – mynewshub.cc