PENGARAH syarikat boleh didenda sebanyak RM2,000 di bawah Akta Syarikat 1965 sekiranya mereka terlewat menghantar penyata tahunan dan penyata kewangan bagi tahun 2014 ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagi syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember 2014, tarikh akhir untuk menyerah simpan dokumen berkenaan adalah pada 7 Ogos 2015 (bagi negeri dengan cuti am pada hari Sabtu dan Ahad) dan 9 Ogos 2015 (bagi negeri dengan cuti am pada hari Jumaat dan Sabtu).
Ketua Pegawai Eksekutif SSM Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, banyak syarikat telah dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi peraturan syarikat yang telah ditetapkan pada tahun lalu hingga terpaksa menanggung jumlah tunggakan kompaun yang besar.
Kesalahan tersebut termasuklah kegagalan menyedia dan membentangkan penyata kewangan di mesyuarat agung tahunan (AGM) yang mana penyata kewangan yang diluluskan tersebut perlu diserahsimpan bersama penyata tahunan kepada SSM.
Penyata Tahunan, Kewangan Wajib Diserah Simpan Di SSM
Pengarah Bahagian Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan SSM Farid Ahmad pula berkata, kegagalan membuat serah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan adalah satu kesalahan yang boleh membuatkan syarikat dan pengarah-pengarah syarikat dikenakan tindakan undang-undang.
“Mengikut Akta Syarikat 1965 di bawah Seksyen 165, jika syarikat gagal menyerah simpan dokumen penyata tahunan dan penyata kewangan, mereka boleh dikenakan denda penalti sebanyak RM2,000,” katanya ketika ditemui Mynewshub.
Farid berkata, serah simpan dokumen dikenakan bayaran sebanyak RM150 bagi syarikat sendirian berhad dan RM350 bagi syarikat berhad.
Proses ini selaras dengan salah satu peranan SSM dalam memastikan suasana perniagaan di Malaysia adalah kondusif dan mengamalkan urus tadbir korporat yang baik.
“Bagi memastikan perkara-perkara itu dicapai kita perlu pastikan bahawa semua syarikat yang ditubuhkan di Malaysia menyerah simpan dua dokumen penting tersebut.
“Dokumen tersebut kemudiannya akan diimbas sebelum diletakkan dalam Internet dan boleh diakses oleh mana-mana pihak yang ingin mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perniagaan yang didaftarkan,” ujarnya.
Pusat Panggilan SSM Memudahkan Urusan Anda
Kebiasaannya, kaunter penyerahan dokumen akan sesak pada dua minggu sebelum tarikh akhir dan bagi mengekang masalah kesesakan itu, SSM telah mengambil langkah alternatif dengan membuka kaunter tambahan di Dewan Utama Tingkat 14, Menara SSM.
“Kaunter sedia ada di tingkat 17, Menara SSM hanya menerima serah simpan dengan bayaran tunai dari 27 Julai hingga 7 Ogos ini dan beroperasi seperti biasa dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang, bermula Isnin hingga Jumaat.
“Selain itu, kaunter khas serah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan turut dibuka di Dewan Utama, Tingkat 14, Menara SSM dari 27 Julai hingga 7 Ogos dan beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang, Isnin hingga Jumaat bagi menerima dokumen serah simpan dengan bayaran cek,” katanya.
Perbaharui Daftar Perniagaan, Tak Perlu Ke SSM Pun Tak Apa..
Pemerhatian Mynewshub mendapati, kaunter serahan kini sudah mula dibanjiri wakil dan pemilik syarikat yang ingin menyerahkan penyata tahunan dan penyata kewangan syarikat masing-masing. – MYNEWSHUB.CC
https://www.youtube.com/watch?v=GbLhHmjVZ58
Oleh: Juliana Johar
Foto/Video: Riza Razak