BAGHDAD – Sebuah jet pejuang Iraq dengan tidak sengaja menggugurkan sebutir bom di kawasan kejiranan, di sini, semalam, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, kata pegawai Iraq.
Ketika kejadian, pesawat penggempur jenis Sukhoi buatan Russia yang digunakan Iraq untuk memerangi Kumpulan Militan Negara Islam (IS), dikatakan dalam perjalanan pulang ke pangkalan udara.
Jurucakap tentera, Brig Jen Saad Maan Ibrahim, memberitahu The Associated Press, bom gugur dengan tidak sengaja akibat masalah teknikal, sekali gus mengenai beberapa rumah di timur ibu kota Iraq dekat dengan kejiranan Baghdad Baru.
Seorang pegawai polis di hospital berdekatan berkata, tiga kanak-kanak dan dua wanita adalah antara 12 yang terbunuh dengan sekurang-kurangnya 25 lain cedera.
Iraq berdepan krisis terburuk sejak pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2011. Sementara itu, IS menguasai sebahagian besar wilayah utara dan barat negara itu tahun lalu apabila pemberontak berjaya menawan bandar kedua terbesar Iraq, Mosul dan kebanyakan kawasan di wilayah barat Anbar. – AP/BH Online
https://www.youtube.com/watch?v=g5sNqZDywaI