SITUASI tegang yang dialami Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak apabila diserang bertali arus dengan tuduhan dan fitnah terutamanya daripada Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report telah digunakan sebagai ‘batu lompatan’ oleh puak pembangkang untuk merealisasikan agenda mereka.
Kesempatan tersebut diambil untuk terus menekan Najib dan menyuntik doktrin dalam pemikiran masyarakat seolah-olah Najib bersalah dan sememangnya dana berjumlah kira-kira RM2.6 bilion dimasukkan ke akaun peribadi beliau, sedangkan tuduhan tersebut belum tahu hujung pangkal kesahihannya.
Tuduhan Dana 1MDB Masuk Akaun PM: Haron Din Pertahan Najib
Namun demikian, bukan kesemua puak pembangkang bertindak menghentam Najib apabila masih terdapat segelintir yang sedar beliau belum pun dijatuhkan hukuman bersalah.
Andai semalam Mursyidul AM PAS Datuk Haron Din mempertahankan Perdana Menteri, hari ini Presiden PAS mengambi langkah serupa.
Ujar Abdul Hadi, Perdana Menteri bukanlah malaikat dan hanya manusia biasa, justeru tuduhan yang dilemparkan kepadanya haruslah disusuli dengan empat saksi.
Memetik kenyataannya menerusi laporan Astro Awani, “Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga… saksi yang adil.”
Bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila kedua-dua pemimpin tertinggi PAS tersebut memberi sokongan terhadap Najib dalam hal ini. Kalau diimbas kembali pada Februari lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob telah hadir di Putrajaya dan bertemu dengan Najib susulan keprihatinan kerajaan pusat dalam membantu meringankan beban rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang itu menghadapi bencana banjir hujung tahun lalu.
Ketika itu, ada pemimpin pembangkang yang mengkritik tindakan Ahmad Yaakob kerana dilihat cuba berbaik-baik dengan UMNO, tapi bila difikirkan balik, ia langsung tak salah kerana dibuat untuk kepentingan rakyat.
Bukan sahaja dari PAS, malah beberapa hari lalu seorang ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari PKR turut menyatakan pandangan yang boleh ditafsir sebagai membela Najib.
Kisah 1MDB ‘Sukar Untuk Dipercayai’ – Ahli PAC
Memetik kenyataan Datuk Kamarul Baharin Abbas, beliau menyifatkan cerita tersebut sebagai sukar dipercayai kerana secara logiknya, tak ada mana-mana syarikat dapat memindahkan wang sebanyak AS$700 juta ke dalam akaun seseorang secara rahsia.
Ini berikutan jumlahnya yang terlalu besar dan pastinya Bank Negara akan menyedari tentang transaksi berkenaan andai ia benar-benar berlaku.
Makanya, berdasarkan situasi yang sedang berlaku antara segelintir pemimpin pembangkang, ia pastinya memberikan persepsi positif kepada masyarakat bahawa cerita-cerita yang bertebaran di atmosfera media kebanyakannya hanya untuk memburukkan imej Najib sebagai ketua kerajaan.
Pastinya, tindakan yang dilakukan Haron Din, Abdul Hadi dan Kamarul Baharin yang menolak dakwaan jahat WSJ menunjukkan segelintir pemimpin pembangkang masih berfikiran waras dan tidak tamak mengejar kedudukan dan takhta memerintah sehingga sanggup menggunakan setiap peluang yang muncul untuk menjatuhkan Najib, walaupun ia merupakan taktik kotor. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: IZZAT MOHD ANUAR
Dana USD700 juta: Bukan Najib Perlu Buktikan, Tetapi WSJ – Khairy Jamaluddin