SERDANG – Pegawai-pegawai pengembang selaku barisan hadapan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diingatkan supaya menggunakan bahasa dan penyampaian yang mudah difahami ketika memberi penerangan kepada petani, nelayan dan penternak di luar bandar.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu penting agar semua dasar dan perancangan kerajaan untuk memartabatkan bidang pertanian berhasil.
“Bila berhadapan dengan orang kampung, gunakan penjelasan yang mudah difahami, letakkan diri seperti mereka… jangan nak tunjuk hebat atau guna bahasa yang terlampau tinggi.
“Pegawai pengembang mesti mesra dengan pihak berkenaan (petani, penternak dan nelayan) dan kalau ini dapat dilakukan, maka apa yang ingin disampaikan mudah difahami,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Pegawai Pengembangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini. – BERNAMA