KOTA TINGGI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan dua strategi dalam menangani sebarang kejadian ketika musim perayaan menerusi Ops Raya 2015, selama dua minggu mulai 10 Julai lepas.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata strategi pertama melibatkan pemeriksaan keselamatan premis bagi pencegahan dan penghapusan bahaya kebakaran di tempat tumpuan ramai termasuk pusat beli belah dan pusat hiburan awam.
“Strategi kedua pula adalah menumpukan operasi pemadaman dan penyelamatan bagi memastikan operasi itu dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan,” katanya kepada pemberita pada mjalis Ihya Ramadan bersama anak yatim dan pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Parlimen Tenggara, di sini, malam tadi.
Halimah yang juga anggota Parlimen Tenggara berkata mengikut Seksyen 8, Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341), Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran atau kompaun boleh dikeluarkan jika wujudnya bahaya kebakaran di dalam premis tersebut.
Beliau berkata sehingga kini sebanyak 2,434 Notis Penghapusan Bahaya Kebakaran telah dikeluarkan kepada pemilik premis daripada 8,643 premis yang diperiksa sejak Januari hingga Jun lepas, di seluruh negara.
Katanya, bagi operasi pemadaman dan penyelamatan, sebanyak 277 balai bomba akan terlibat dalam Ops Raya 2015 manakala rondaan anggota di jalan persekutuan, jalan bandaran dan lain-lain jalan di sepanjang tempoh ops tersebut turut dipertingkatkan.
Menurut Halimah, usaha yang dilakukan JBPM tersebut merupakan tanggungjawab bagi menyelamatkan harta awam dan keselamatan orang ramai, namun, kesedaran masyarakat amat dititikberatkan bagi mengelakkan kecelakaan berlaku.
“Orang ramai turut diharap supaya mengamalkan pemanduan selamat dengan merancang masa perjalanan. Kita percaya jika semua perkara ini dapat dilaksanakan, maka ia akan dapat mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Halimah turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan pakaian raya kepada 110 anak yatim serta 131 pelatih PDK berkenaan. – BERNAMA