KUALA LUMPUR – Setiap kali binatang berbisa seperti ular masuk ke rumah atau tebuan bersarang di kawasan kediaman, pasti bantuan anggota pasukan beruniform biru dan berberet oren yang ditagih.
Malah label berkenaan cukup sinonim untuk pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), berbanding sumbangan lain yang diberikan badan beruniform itu.
Lebih menyedihkan apabila ada yang langsung tidak sedar kewujudan dan fungsi jabatan ini yang ditubuhkan sejak 1939 lagi.
Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Ab Samad mengakui ia menjadi cabaran utama jabatan itu untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa kerja menangkap ular bukan peranan utama mereka.
Sebaliknya, tugas itu hanya satu daripada khidmat kemanusiaan yang dilakukan JPAM, katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
“Ramai yang masih tidak jelas bidang tugas JPAM dan tidak kurang juga yang menganggap peranan kami sekadar menangkap binatang bahaya, sedangkan tugas sebenar adalah lebih luas daripada itu,” katanya.
Zaitun yang dilantik menerajui jabatan itu sejak Mei tahun lepas mengakui persepsi itu sedikit sebanyak menenggelamkan peranan sebenar anggotanya yang memberikan komitmen penuh membantu menjaga keselamatan masyarakat.
Tegasya, JPAM atau dahulunya dikenali sebagai JPA3 merupakan lapisan ketiga pertahanan negara selepas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.
Ia juga memainkan peranan penting sama ada ketika peperangan mahupun sewaktu negara dalam keadaan aman, seperti diperuntukkan Perlembagaan.
“Fungsi pertama, menjaga keselamatan awam semasa perang, contohnya apabila negara diserang… nauzubillah, ketika tentera akan keluar mempertahankan negara, dan polis menjadi barisan kedua,” katanya.
Zaitun menjelaskan JPAM akan membantu menjaga keselamatan awam ketika tentera dan polis mempertahankan negara.
“Fungsi kedua, membantu masyarakat dan membuat persediaan kepada masyarakat mengenai bencana alam serta memberi bantuan kecemasan yang meliputi pencegahan penyakit, kawalan rusuhan dan pencegahan binatang berbisa,” katanya.
Tugas JPAM semasa aman, menurutnya, antara lain membantu ketika kemalangan jalan raya, kemalangan tempat kerja dan kes bunuh diri.
Beliau berkata semua tugas JPAM sememangnya termaktub dalam Perlembagaan dan penerangan lebih komprehensif kepada masyarakat mengenai tugas pasukan itu akan terus dilakukan.
Zaitun berkata, penerimaan masyarakat terhadap jabatan itu dan menjadikan JPAM sebagai entiti yang unggul dalam mempersiapsiagakan rakyat dengan ilmu bencana, merupakan antara petunjuk prestasi utama (KPI) beliau.
“Strategi kami menjadikan JPAM satu pasukan beruniform yang unggul, bukan sebagai pembantu seperti persepsi ketika ini.
“Kami perlu bawa jabatan ini supaya sinonim dengan pertahanan, bukan hanya dengan ular, kena didik orang awam bahawa JPAM ada banyak lagi cabang yang meliputi pelbagai aspek,” katanya.
Pada masa ini, Zaitun berkata beberapa pendekatan termasuk mewujudkan program JPAM di semua peringkat masyarakat dijalankan antara lain bagi merealisasikan visi menambah baik penerimaan masyarakat terhadap jabatan itu.
Antaranya Program Awalan Kesedaran Keselamatan Pertahanan Awam (PROKSPA) yang memberi fokus kepada pelajar sekolah dan tadika, Kadet Pertahanan Awam (KAPA) di sekolah menengah dan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) di peringkat universiti.
April lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kementeriannya akan mengesyorkan kepada kerajaan agar JPAM diberi peranan utama dalam menerajui usaha menyelamat dan urusan penyaluran bantuan.
Kini, JPAM mempunyai kira-kira 850,000 anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) dan 570 perjawatan tetap.- BERNAMA