KEPELBAGAIAN fungsi dan teknologi yang digunakan pada Apple Watch dikatakan bakal mengubah landskap penggunaan peranti boleh pakai pada masa kini.
Beberapa penganalisa meramalkan gabungan rekaan dan jenama Apple pasti membuatkan orang ramai tertarik untuk membeli jam pintar keluaran mereka.
Ramalan dilakukan setelah melihat bagaimana Apple mewujudkan pasaran untuk tablet pada tahun 2010 dengan penjualan iPad.
Nampaknya ramalan tidak menjadi kenyataan kali ini dengan laporan menunjukkan jumlah jualan Apple Watch merudum sebanyak 90 peratus sejak dilancarkan April lalu.
Menurut portal AMANZ, pada awalnya sebanyak 200 000 Apple Watch terjual setiap hari. Pada bulan lalu mereka hanya berjaya menjual sebanyak 20 000 jam sehari.
Momentum penjualan Apple Watch nampaknya tidak dapat dikekalkan seperti iPhone dan juga iPad.
Pada waktu yang sama 65 peratus model yang terjual adalah model Apple Watch Sport yang juga merupakan model paling murah boleh dimiliki.
Mungkin pengguna belum merasakan membeli sebuah jam tangan pintar berharga USD549 adalah berbaloi. Harga Apple Watch ini adalah jauh lebih mahal berbanding sebuah iPad Air.
Edisi mewah Gold Edition pula dikatakan hanya terjual sebanyak 2000 unit di Amerika Syarikat setakat ini.
Sebenarnya penjualan jam tangan pintar yang tidak memberangsangkan ini juga dialami oleh pengeluar lain.
Harga jam pintar masih lagi terlalu mahal bagi sebuah peranti yang mempunyai kemampuan yang terhad.
Terdapat banyak telefon pintar yang lebih berkuasa dan mempunyai pelbagai fungsi (serta skrin jauh lebih besar) dijual pada harga yang lebih murah.
Secara peribadi kami masih belum melihat keperluan memiliki sebuah jam tangan pintar.
Jam digital pada peranti yang sedia ada sudah cukup memadai bagi kami.
Anda pula bagaimana? Adakah menyimpan hasrat membeli sebuah jam tangan pintar dalam masa terdekat? – MYNEWSHUB.CC
Sumber: marketwatch