Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Perak Sumbang RM100,00 Kepada...

IPOH - Kerajaan Negeri Perak meluluskan peruntukan RM100,000 untuk pembelian peralatan serta barangan...

Pelajar Didakwa Rogol Pelajar...

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar tahun pertama jurusan pengajian Bahasa Arab di sebuah...

Nelayan Minta Kerajaan Kaji...

LANGKAWI - Nelayan di pulau peranginan ini berharap kerajaan dapat mengkaji semula harga...

Keunikan Suria Hot Spring...

BENTONG - Bagi warga kota yang ingin melarikan diri daripada kesibukan bandar boleh...

Kaji Akta Pembaziran Makanan Secara Terperinci

KUALA LUMPUR – Isu pembaziran makanan bukanlah satu perkara baharu di negara ini, malah bagaikan menjadi tradisi terutamanya ketika bulan Ramadan.

Satu hakikat menyedihkan. Amalan dan sikap tidak bertanggungjawab rakyat Malaysia itu bukan sahaja menyebabkan makanan terbuang, malah merugikan mereka dan sumber makanan secara amnya.

Menurut laporan, sebanyak 270,000 tan makanan dibazirkan sepanjang Ramadan saban tahun. Jumlah makanan sebanyak itu dianggarkan bersamaan hidangan untuk 180 juta orang iaitu enam kali ganda melebihi jumlah penduduk negara ini yang seramai 27 juta orang.

Lebih mengecewakan, makanan yang dibuang itu masih elok dan belum tercemar.

Ironinya, ramai rakyat Malaysia merungut kos sara hidup kini semakin meningkat, tapi mempunyai kemampuan untuk mewah berbelanja dan menikmati juadah berbuka puasa hidangan buffet di restoran mewah dan hotel, yang bernilai ratusan Ringgit.

KAJIAN MENYELURUH

Sehubungan itu, pada 23 Jun lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya mewujudkan Akta Pembaziran Makanan bagi mengekang budaya pembaziran di kalangan rakyat Malaysia terutamanya di bulan Ramadan.

Wajarkah diwujudkan akta seumpama itu dan sejauh manakah keberkesanannya kelak?

Mengupas persoalan itu, Ketua Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata kajian menyeluruh perlu dijalankan dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk implikasi terhadap pengguna sebelum akta itu digubal.

Beliau berkata kajian itu hendaklah merangkumi beberapa aspek penting sama ada akta itu turut melibatkan pengusaha dan premis-premis perniagaan makanan memandangkan pembaziran bukan hanya berlaku pada Ramadan malah sepanjang tahun.

“Pembaziran tidak hanya berlaku di hotel-hotel atau premis-premis perniagaan sahaja, malah di rumah-rumah. Jika akta ini diwujudkan, benarkah ia akan dapat menangani masalah pembaziran.

“Jika dilihat, pembaziran banyak berlaku di premis-premis yang menghidangkan bufet Ramadan kerana ada pelanggan yang mengambil makanan secara berlebihan, sedangkan mereka sepatutnya lebih tahu kemampuan perut sendiri untuk menerima makanan terutamanya setelah berpuasa,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Fazli berpendapat adalah lebih baik jika pengusaha makanan dan hotel mengambil insiatif memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak membazir makanan dengan mengenakan penalti terhadap mana-mana individu gagal menghabiskan makanan iaitu membayar balik harga makanan yang dibazirkan.

KERJASAMA

Beliau berkata kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama persatuan peniaga dan pengguna adalah pendekatan terbaik untuk mencari alternatif baharu bagi menangani isu berkenaan.

“Perbincangan meja bulat dengan semua pihak terbabit amat penting untuk mencari jalan agar masalah pembaziran makanan dapat diselesaikan secara adil dan saksama tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” tambahnya.

Mohamad Fazli menegaskan jika akta tersebut diwujudkan, kerajaan juga harus memikirkan kesan kepada perniagaan premis-permis yang menjual makanan.

“Kemungkinan besar langkah itu akan menimbulkan kebimbangan kerana ia melibatkan aspek keuntungan perniagaan dan jumlah kedatangan pelanggan ke premis mereka,” ujarnya.


Beliau berpendapat bahawa pembaziran berpunca daripada sikap individu. Sewajarnya Ramadan dapat mengekang hawa nafsu manusia, lebih-lebih lagi agama Islam mengajar umatnya supaya sentiasa bersederhana dalam menjalani kehidupan termasuk mengelakkan pembaziran makanan, tegas Mohamad Fazli.

“Tidak salah untuk makan tetapi biarlah berpada-pada dan ada hadnya,” katanya.

WUJUD SUKARELAWAN

Mengakui tabiat masyarakat dalam pembaziran makanan yang masih elok, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Malaysia (PPPKM) Negeri Perlis Hussin Mohammad bersetuju jika Akta Pembaziran Makanan diwujudkan.

Bagaimanapun, Hussin berkata kerajaan perlu memperhalusi kebaikan dan keburukan serta kesan pelaksanaan akta itu jika ingin melaksanakannya bagi memastikan masyarakat benar-benar memahami kepentingan akta itu.

Beliau yang percaya akta tersebut boleh memupuk kesedaran masyarakat agar lebih peka dan tidak membuang atau membazir makanan sesuka hati turut mencadangkan supaya satu badan sukarela diwujudkan bagi membantu golongan
peniaga dan penjaja mengumpulkan makanan berlebihan dan ‘tidak diusik’ untuk diagih-agihkan kepada golongan memerlukan.

“Saya selalu melihat banyak makanan berlebihan di bazar-bazar Ramadan yang dibuang ke dalam tong sampah, sedangkan makanan tersebut tidak basi dan boleh dimakan,” katanya

Sukarelawan-sukarelawan boleh membantu mengedarkan makanan berlebihan atau disedekahkan kepada fakir miskin, rumah-rumah orang tua dan masjid-masjid serta gelandangan.

Yakin bahawa pemberian makanan itu boleh meringankan beban golongan, beliau menegaskan aspek kebersihan makanan dan segar perlu diberi keutamaan bagi mengelak berlakunya keracunan, sekali gus boleh mengundang presepsi negatif masyarakat.

Selain itu, beliau berkata aktiviti membuat baja kompos harus dijadikan amalan terutama di kalangan isi rumah sebagai satu langkah mengurangkan sisa makanan daripada terbuang begitu sahaja.

SEDEKAH

Sementara itu, pengusaha Restoran Asam Pedas di Puchong, Selangor Mohd Arif Abdullah Azman, 29, mengambil pendekatan bersedekah bagi mengelakkan pembaziran makanan.

Menurut beliau, urusan mengagihkan lebihan makanan amat mudah baginya memandangkan terdapat banyak rumah-rumah anak yatim dan warga emas di kawasan Puchong.

“Saya akan masak ikut kuantiti dan permintaan pelanggan bagi mengelakkan pembaziran tetapi jika ada lebihan saya sedekahkan kepada jemaah masjid berhampiran,” katanya yang mengusahakan restoran sejak dua tahun lepas.

Mengakui pembaziran makanan sebagai senario biasa di premis-premis makanan atau restoran, Mohd Arif sentiasa mensyorkan pilihan yang tepat kepada para pelanggannya sebagai usaha mengelakkan pembaziran.

Beliau berkata membazir terutamanya di bulan Ramadan adalah tindakan yang tidak wajar kerana setiap individu sepatutnya bermuhasabah diri dan mensyukuri nikmat Allah di bulan penuh keberkatan ini. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori