IBARAT kasih ibu membawa ke syurga dan kasih anak sepanjang masa, gambar spontan ini jelas menceritakan sisi istimewa seorang pemimpin negara sanggup menghambakan dirinya tanpa lelah buat ibu yang tercinta.
Meskipun jadual harian beliau sibuk dengan pelbagai acara rasmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap ada masa untuk meluangkan masa sejenak bersama ibunya, Toh Puan Rahah Mohammad Noah.
Tanpa mengira protokol dan kedudukan dirinya sendiri sebagai pemimpin, Najib dilihat cukup mesra menolak dengan penuh sopan kerusi roda dinaiki oleh ibunya itu yang kini berusia 82 tahun.
Foto istimewa ini dirakamkan sebelum majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya apabila Najib kebetulan tiada sebarang program iftar di tempat lain.
Difahamkan Najib sendiri mahu berbuat demikian kerana ingin berdampingan secara peribadi dengan ibunya walaupun beliau sebenarnya boleh sahaja meminta pembantu untuk tugasan tersebut.
Sikap terpuji Perdana Menteri yang tidak kekok mendambakan diri ke atas wanita yang melahirkan beliau hampir 62 tahun lalu itu wajar dicontohi anak-anak masa kini biarpun sudah berjaya dalam hidup. – MYNEWSHUB.CC