KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung permit akhbar The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh selama tiga bulan berkuatkuasa mulai dari 27 Julai ini.
Kumpulan Media The Edge dalam satu kenyataan berkata, KDN melalui surat rasmi menyatakan penggantungan itu merujuk laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh dua penerbitan tersebut.
Artikel yang disiarkan didapati ‘memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin mengejutkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.’
KDN turut memberi amaran bahawa sekiranya syarikat media tersebut gagal untuk menghentikan penerbitan selama tiga bulan, ia akan menyebabkan permit penerbitannya langsung ditarik balik.
Melalui kenyataan yang sama, penerbit dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata, beliau berasa kecewa dengan keputusan pihak kementerian berkenaan.
“Kami tidak melihat bagaimana mendedahkan kes penipuan untuk menipu rakyat Malaysia sebanyak berbilion ringgit boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menjejaskan kepentingan awam dan negara.
“Ini adalah satu usaha untuk menutup operasi kami dengan menutup mulut kami,” katanya. Kay Tat turut berkata The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata, pembaca masih lagi boleh membaca dua akhbar itu menerusi platform digital termasuk The Edge Markets, The Edge Property, The Malaysian Insider dan edgy.my.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca, Kay Tat berharap para pengiklan dapat menyokong mereka melalui platform digital sepanjang penggantungan tiga bulan itu. – Agensi/Mynewshub/HAA