SANTIAGO – Kekalahan pada final kedua kejohanan utama dalam tempoh setahun adalah penyiksaan yang teruk kepada Argentina, kata perancang tengah, Javier Mascherano.
Argentina tumbang menerusi penentuan penalti 4-1 kepada Chile yang menjuarai Copa America buat kali pertama, awal pagi tadi.
Julai tahun lalu, Argentina ditundukkan Jerman pada final Piala Dunia dan kekalahan kepada Chile meneruskan rentetan kemarau gergasi bola sepak itu yang kali terakhir menjuarai gelaran major pada 1993.
“Kekalahan adalah penyiksaan, ia kesedihan yang amat besar,” kata Mascherano yang muncul salah seorang pemain Argentina yang mampu memberi kenyataan kepada wartawan selepas final di Stadium Nasional Santiago itu.
“Semua orang tahu apa yang saya rasakan apabila saya memakai baju ini. “Kami mengharungi kempen Copa America yang baik, bermain di final sebagai pelawat dan kami bersedia untuknya.
“Sekali lagi, kami kurang kuota membabitkan tuah untuk menang, saya benar-benar tidak dapat mencari jawapannya,” kata pemain Barcelona berusia 31 tahun itu.
Mascherano berkata, Chile memberi tekanan yang hebat kepada Argentina dan apabila mereka melakukan serangan, mereka turut bertahan dengan baik.
“Chile adalah pasukan yang amat baik namun kami berjaya mengekang mereka, kami bermain permainan yang kami mahukan… kami bergerak untuk menang namun malangnya ia tidak terjadi,” katanya.
“Kesakitan ini amat besar dan ia semakin teruk.” Mascherano sebelum ini turut berada dalam skuad Argentina yang tewas kepada Brazil pada final Copa America 2004 dan 2007. – Reuters
https://youtu.be/WWKPGE1tyck