KUALA LUMPUR – Keluarga juruaudit Malindo Air, Suraiza Hamzah, yang ditemui mati di rumahnya selepas dipercayai dipukul seorang anggota keluarganya semalam, tidak banyak bergaul dengan jiran tetangga.
Jiran mangsa, Ramli Ismail, 63, yang menetap di kawasan itu lebih lima tahun, berkata keluarga Allahyarham Suraiza, 46, jarang bergaul dengan masyarakat sekeliling.
“Kalau mereka ada di rumah pun cuma duduk di dalam rumah dan tidak keluar dan kalau keluar untuk kerja dan membeli-belah.
“Sejak kebelakangan ini, saya melihat hanya mangsa yang keluar untuk bekerja dan apabila bertanya mengenai suaminya dia berkata suaminya ada di dalam rumah,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Mayat Suraiza dijumpai terbaring di ruang tamu rumahnya di Taman Tun Dr Ismail di sini pada 7.30 malam tadi oleh anak lelakinya berusia 17 tahun.
Juruaudit Maut Dibelasah Suami Akibat Cemburu
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Sharul Othman Mansor berkata suspek yang tidak bekerja dan dipercayai mempunyai masalah mental dilaporkan menghentak kepala wanita itu dengan objek tumpul.
Suspek ditahan oleh anggota ronda balai polis Taman Tun Dr Ismail setengah jam kemudian selepas menerima maklumat daripada ibu saudara anak mangsa.
Seorang lagi jiran, Fauziah Abdul Aziz, 63, berkata dia tidak pernah melihat mangsa mempunyai apa-apa masalah sehinggalah kejadian semalam.
“Mangsa sentiasa senyum dan menegur saya ketika hendak pergi ke tempat kerja,” katanya yang menetap di situ sejak setahun lepas.
Sementara itu, anak lelaki Allahyarham Suraiza yang ditemui Bernama di perkarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pula enggan memberi sebarang komen berkenaan insiden itu.
Seorang ibu saudara yang enggan dikenali pula berkata urusan bedah siasat masih dijalankan dan dijangka selesai kira-kira 4 petang ini. – BERNAMA