TAWAU – Kemudahan pendidikan di semua sekolah di seluruh negara akan terus dipertingkat serta ditambah baik demi melonjakkan lagi prestasi pencapaian dan kualiti pendidikan di Malaysia, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.
Beliau berkata dalam usaha itu, kementeriannya akan menyediakan pelbagai alat bantuan pengajaran dan pembelajaran yang dapat membantu merangsang serta meningkatkan prestasi para pelajar.
“Kerajaan terutamanya melalui Kementerian Pendidikan sangat komited dalam memberikan pendidikan yang terbaik kepada semua pelajar. Oleh itu bidang pendidikan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Akhbar Pendidikan Tutor dan Bahan-Bahan Bacaan Kepada Sekolah di Kawasan Parlimen Tawau, di sini hari ini.
Mengulas mengenai program itu, Yap berkata akhbar pendidikan itu akan digunakan sebagai alat bantuan mengajar tambahan dalam kelas dan ia diyakini dapat membantu meningkatkan kefahaman murid.
“Soalan latih tubi yang terdapat dalam akhbar pendidikan itu juga dapat membantu pelajar membuat persediaan menghadapi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Yap berkata akhbar Pendidikan Tutor itu akan memberi manfaat kepada 4,419 pelajar calon peperiksaan PT3 dan SPM di 13 Sekolah Menengah Kebangsaan, termasuk dua sekolah swasta di kawasan Parlimen Tawau.
Sehubungan itu, Yap menyarankan agar semua guru dapat memberi penekanan kepada semua pelajar, agar memanfaatkan serta memaksimumkan penggunaan akhbar pendidikan tersebut. – BERNAMA