JOHOR BAHARU – Tiga kematian terbaharu akibat demam denggi dicatatkan di daerah Johor Baharu dalam tempoh seminggu ini, menjadikan angka kematian akibat denggi meningkat 14 orang di seluruh Johor sehingga minggu ke-27.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata tiga kematian antara Ahad lepas dan semalam itu menunjukkan peningkatan kepada lapan kematian daripada lima kematian, sehingga berakhir minggu ke-26.
“Mangsa adalah seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun dari Taman Daya, seorang wanita berumur 28 tahun yang baru melahirkan anak dari Taman Kobena serta seorang lelaki rakyat Bangladesh berumur 35 tahun yang bekerja di Taman Desa Cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program memerangi denggi bersama sukarelawan 1M4U daripada Politeknik METRO di Kampung Melayu Majidee, di sini hari ini.
Ayub berkata keseluruhannya 5,465 kes denggi dicatatkan di seluruh Johor sehingga minggu ke-27 dan usaha sedang giat dilakukan untuk membanteras denggi habis-habisan.
Menurut beliau pihaknya dengan kerjasama penduduk, badan bukan kerajaan dan pelbagai agensi terlibat sudah mengadakan gotong-royong mega di 34 lokaliti di sekitar bandar raya itu pada 9 Julai lepas.
Ayub berkata gotong-royong yang sama akan dilakukan sekali lagi pada Selasa ini yang akan menumpukan operasi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes pada sebelah pagi manakala semburan kabus pada sebelah petang.
Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat setempat supaya meningkatkan tahap kebersihan sekitar kediaman dan sentiasa sedar mengenai bahaya denggi.
“Pada program hari ini, kami dapati ada penduduk yang tidak mengurus sampah dengan baik di kediaman mereka sehingga menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes manakala ada penduduk yang tinggal di pinggir Sungai Sebulong pula dipercayai membuang sampah masing-masing ke dalam sungai tersebut,” katanya. – BERNAMA