SUSULAN insiden pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yat semalam, tinjauan Mynewshub mendapati suasana  sunyi sepi dan lengang menyelubungi kompleks setinggi lima tingkat itu.
Kelihatan cuma sesetengah peniaga sahaja membuka premis mereka seperti biasa, kebanyakannya yang terletak di aras atas plaza.
Manakala kesemua kedai di aras bawah di mana kejadian pergaduhan berlaku sebelum ini, mengambil keputusan menutup sementara premis mereka berkemungkinan besar atas faktor keselamatan.
Menurut pekerja bahagian informasi plaza tersebut, kebanyakan kedai dijangka akan membuka semula operasi perniagaan mereka seperti biasa pada esok hari.
Sementara itu, salah seorang peniaga di plaza berkenaan, Mohd Nizam, 31, berkata insiden semalam sedikit sebanyak telah menjejaskan perniagaan peniaga di situ yang kebiasaannya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan.
“Memang insiden itu beri kesan kepada peniaga. Tak sampai 10 peratus peniaga Low Yat buka (premis) hari ini.
“Pihak pengurusan tak bagi apa-apa surat pun untuk tutup. Yang tutup tu mungkin atas kehendak (pemilik) sendiri,” katanya yang membuka perniagaan seperti biasa.
Walaupun berlaku sedikit huru-hara di kompleks jualan barangan elektronik terbesar di Malaysia itu namun ianya bukan penghalang buat segelintir pengunjung yang tetap datang bagi mencari kelengkapan elektronik.
Seorang pelajar, Shamirah Absuner, 17, yang ditemui berkata, dia ke situ hari ini kerana menemani rakan yang ingin mengambil semula telefon pintar yang dibaiki di salah sebuah premis di plaza tersebut.
“Saya ingat perkara dah selesai tapi tak selesai lagi. Mungkin saya tidak akan datang ke Low Yat dalam masa terdekat takut benda ini berlarutan,” katanya.
Shamirah turut mengingatkan individu di luar sana terutama pengguna laman sosial supaya tidak mengaitkan insiden itu dengan isu perkauman kerana ianya sama sekali tidak wajar.
“Tak wajar libatkan isu perkauman. Memang perlu elakkan benda macam ini (isu perkauman). Saya harap perkara dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya lagi.
Sabtu lalu kira-kira jam 7.50 malam, berlaku satu pergaduhan melibatkan beberapa pengunjung dan penjual.  Insiden itu pada mulanya diuar-uarkan berpunca apabila pembeli tertipu dengan telefon bimbit yang dibeli di sana hingga mengajak rakan-rakannya ‘mengajar’ penjual yang telah menipu.
Bagaimanapun menurut siasatan pihak polis, perkara yang sebetulnya berlaku ialah lelaki berusia 22 tahun itu sememangnya mencuri telefon bimbit dan atas sebab itu dia ditahan oleh pihak berkuasa. – MYNEWSHUB.CC
Mesti Baca! Pertelingkahan Di Low Yat, Ini Cerita Sebenar
Oleh:  JULIANA JOHAR
Video:  RIZA RAZAK
https://www.youtube.com/watch?v=i6si8K8hExI