KUALA LUMPUR – Wujudkah tempat kerja yang bebas tekanan? Pasti jawapannya, mustahil.
Sama ada di sektor awam atau swasta, pekerja kilang atau buruh kasar, malah pembantu rumah, masing-masing punya rungutan tersendiri.
Setiap pekerjaan pasti berhadapan dengan masalah dan tekanan tanpa mengira sama ada seseorang itu “bos” ataupun “kuli”. Itulah dua perkataan yang sering digunakan apabila seseorang itu menghadapi tekanan di tempat kerja.
Hakikatnya, ada saja rungutan dan ketidakpuasan hati yang antaranya berpunca daripada bebanan tugas, masalah komunikasi serta ketidakserasian sesama manusia yang akhirnya menyebabkan seseorang itu menghadapi tekanan mental atau stres.
Lebih memburukkan, desakan, tanggungjawab ‘luar biasa’ serta ‘deadline’ demi mencapai sasaran syarikat atau organisasi sering kali menyebabkan pekerja di pelbagai peringkat lebih tertekan.
SUASANA TEMPAT KERJA
Suasana tempat kerja yang selesa dan kondusif sangat penting namun sukar dicapai jika pekerja-pekerjanya berwajah kelat, tidak ceria malah dibelenggu kemurungan berikutan pelbagai faktor tersebut. Natijahnya, ada yang kesihatannya terganggu manakala ada juga pergi kerja dalam keadaan tidak bermaya.
Baru-baru ini, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye menyarankan agar semua organisasi mengambil kira isu tekanan mental yang berkaitan pekerjaan.
Berdasarkan Kajian kesihatan dan Morbiditi Nasional 2011, kira-kira 11 peratus rakyat Malaysia berumur 18 hingga 60 tahun menderita pelbagai jenis penyakit mental termasuk, tekanan, kebimbangan dan kemurungan. Antara penyebab utama penyakit mental di Malaysia ialah masalah kewangan dan beban kerja.
Apakah penyebab stres itu ‘genuine’ atau berpunca daripada kelemahan individu terbabit? Berapa ramaikah majikan yang peka dan sejauh manakah tahap sensitiviti mereka berhubung isu stres kerana ia sangat subjektif?
Mengulas isu tersebut, pensyarah kanan dan Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata tekanan di tempat kerja adalah situasi yang sukar dielakkan, namun keseimbangan mental dan fizikal amat penting bagi setiap individu agar tidak mudah berasa tertekan.
JEJAS KUALITI HIDUP
Beliau berkata tekanan yang berpunca daripada faktor persekitaran tempat kerja tidak selesa dan bebanan tugas melampau bukan saja akan mengganggu urusan harian serta memberi kesan kepada interaksi sosial seseorang itu, malah boleh menjejaskan kualiti kehidupannya.
“Seseorang itu pastinya akan berasa tertekan apabila kerja yang diberikan tidak setimpal dengan kemampuannya, umpamanya jika terpaksa melakukan sesuatu tugas bersendirian sedangkan ia sepatutnya diselesaikan secara berkumpulan.
“Dalam keadaan itu, individu berkenaan akan lebih tertekan kerana kemampuan seorang tidak sama, pengurusan tekanan serta cara mengawal emosi juga berbeza,” jelas beliau kepada Bernama.
Selain itu, Muhammad Muhsin berkata tekanan di tempat kerja juga boleh menjejaskan kesihatan individu sehingga memberi kesan kepada produktiviti dan kualiti kerjanya.
Tekanan bukan sahaja mengganggu kesihatan malah boleh menjadi punca penyakit seperti darah tinggi, lemah jantung, diabetes, kemurungan dan obesiti.
DENGAR DAN HARGAI PEKERJA
Bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi para pekerja, Muhammad Muhsin menasihatkan agar majikan meluangkan masa untuk mendengar masalah mereka.
Jika ada pekerja yang kurang selesa untuk meluahkan masalah kepada majikan, satu jawatankuasa khas wajar ditubuhkan bagi membolehkan pekerja berkongsi masalah dan mencari jalan mengatasinya.
“Jika tidak dapat meluahkan masalah kepada individu yang dipercayai, akhirnya boleh mengakibatkan pekerja menjadi murung dan hilang keyakinan diri,” katanya dan menasihatkan para pekerja supaya bersikap terbuka membincangkan masalah mereka dengan majikan atau wakilnya.
Menurut beliau, tekanan di tempat kerja bukan saja melibatkan sikap manusia malah persekitaran pejabat yang tidak mesra pekerja atau tidak selamat dan boleh mengundang bahaya juga akan menyebabkan pekerja berasa tertekan.
“Ruang pejabat yang gelap, panas dan berhabuk boleh memberi kesan kepada kesihatan pekerja,jadi bolehkah mereka bekerja dengan gembira?
“Masalah gangguan seksual dan budaya membuli di pejabat juga boleh memberi kesan langsung kepada emosi pekerja malah menyebabkannya berasa takut untuk pergi bekerja,” katanya.
Sehubungan itu, Muhammad Muhsin berpendapat penghargaan kepada setiap pekerja harus dijadikan budaya dalam sesebuah organisasi walaupun ia sekadar pujian, sekaligus menunjukkan pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan pekerja kerana melaksanakan tugas dengan baik.
Mengakui terdapat majikan yang lokek dalam memberi pujian dan ucapan terima kasih kepada pekerja, beliau berharap setiap organisasi dapat mengikis dan mengelakkan sikap sedemikian.
Beliau menasihatkan para pekerja agar sentiasa berfikiran positif serta bersabar dan mengawal emosi dalam mengurus tekanan mahupun ketika menghadapi masalah.
GAJI TIDAK SETIMPAL
Sementara itu, Kaunselor di Kolej Poly-Tech MARA Kampus Cawangan Ipoh, Rahmat Abdul Rahman berpendapat keadaan ekonomi negara yang tidak menentu memberi kesan dan memaksa majikan untuk mengerah tenaga pekerja bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.
Walaupun tindakan itu merupakan satu cara untuk memastikan pekerja terus dedikasi dan cemerlang, namun ia boleh memberi tekanan terhadap pekerja terbabit dan akan menjejaskan emosinya.
“Contohnya, pekerja di sektor perbankan perlu mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI), jadi ada yang terpaksa bekerja lebih masa dan pada hari minggu, akan tetapi keadaan ekonomi sekarang berkemungkinan memaksa majikan tidak memberi bonus atau bayaran gaji yang tidak setimpal dengan tugas mereka,” katanya.
Rahmat berkata kekurangan pendapatan menyebabkan kuasa beli menurun dan ada yang tidak mampu untuk menampung kos sara hidup semakin tinggi, justeru mejadi punca tekanan.
Masalah kewangan adalah satu daripada punca utama individu menjadi tertekan dan dalam keadaan mental yang tidak stabil itu mereka terpaksa pula berhadapan tekanan di tempat kerja demi mencari nafkah.
Oleh itu, Rahmat menegaskan kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha mencegah ‘penyakit’ tersebut di kalangan pekerja.
Beliau turut menyarankan agar bahagian sumber manusia setiap organisasi supaya menjalankan penyelidikan mencari punca tekanan di kalangan pekerja.
“Kaji selidik sangat penting untuk mengenal pasti punca tekanan selain mengadakan kursus motivasi kepada pekerja terbabit, perlu diingat bahawa minda yang sihat dapat melahirkan sebuah komuniti kerja yang efisyen,” katanya. – BERNAMA