PUTRAJAYA – Pada 11 Jun lepas, Malaysia digemparkan dengan insiden kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony bersama muatan petrol bernilai RM21 juta semasa dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.
Serentak itu, misi pencarian digerakkan dan selepas enam hari kapal tangki milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu berjaya dikesan di perairan Teluk Siam berhampiran Vietnam oleh pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia(RAAF).
Muatan petrol didapati tidak terjejas manakala kesemua 22 anak kapal – 16 Malaysia, lima Indonesia dan seorang warga Myanmar ditemui selamat kecuali seorang anak kapal yang mengalami kecederaan ringan akibat terkena tembakan.
Dua hari kemudian, lapan suspek warga Indonesia yang dipercayai merampas kapal itu ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam.
Insiden di Laut China Selatan itu adalah yang ketujuh berlaku di perairan negara, sekaligus mencetuskan persoalan sekali lagi apakah perairan Malaysia tidak lagi terjamin keselamatannya.
HAKIKATNTA PERAIRAN NEGARA SELAMAT
Tetapi hakikat sebenarnya perairan Malaysia meliputi keluasan 614,000 kilometer persegi masih selamat dan terkawal, demikian kata Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu berkata walaupun beberapa insiden rompakan telah berlaku, tahap keselamatan perairan Malaysia yang melibatkan Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu sebenarnya semakin terkawal sejak agensi itu ditubuhkan pada 2005.
Sebelum APMM beroperasi, kegiatan lanun di Selat Melaka amat membimbangkan dengan 38 kes rompakan kapal dagang dilaporkan berlaku pada 2004, namun penubuhan APMM dengan tumpuan dalam membanteras jenayah rompakan di laut berjaya menurunkan statistik kegiatan lanun secara signifikan di Selat Melaka.
“Sejak diberi tanggungjawab memastikan kedaulatan perairan negara, tiada kes rompakan laut atau kegiatan lanun dilaporkan berlaku pada 2009 dan 2010 serta 2012 hingga 2013 kecuali dua insiden masing-masing pada 2011 dan 2014.
“Jika dibandingkan dengan aliran trafik perkapalan melebihi 77,000 buah kapal setahun yang menggunakan laluan Selat Melaka dengan jumlah jenayah rompakan kapal, ia boleh dianggap sebagai satu rekod yang cemerlang,” katanya kepada Bernama.
KEKUATAN APMM AKAN DIPERTINGKAT
Ditanya apakah pengawasan ketat di Selat Melaka menyebabkan penjenayah beralih tumpuan ke Laut China Selatan, Ahmad Puzi berkata dengan keanggotaan seramai 5,000 orang, APMM memberi tumpuan kepada semua perairan di bawah tanggungjawabnya dengan menjejaki dan membuat pemeriksaan terhadap pergerakan kapal-kapal yang mencurigakan tanpa mengira kawasan dan masa.
Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun agensi itu telah melakukan 175,000 pemeriksaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada kegiatan lanun. Dalam tempoh itu seramai 40 individu ditahan dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara serta sebatan atas kesalahan melakukan rompakan.
Bagi menguatkan pengoperasian dan membanteras jenayah rompakan dan perlanunan, APMM turut menjalin kerjasama dengan pasukan keselamatan lain seperti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Laut Malaysia.
Selain itu, APMM bekerjasama dengan persatuan nelayan dan persatuan perkapalan yang diberi peranan menjadi ‘mata dan telinga’ untuk memantau dan menyalurkan maklumat bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya wujud aktiviti mencurigakan di lautan.
Ahmad Puzi juga menyarankan pengendali kapal dagang mempraktikkan amalan baik semasa di laut seperti melakukan pemeriksaan yang konsisten di kawasan anjungan kapal serta segera menekan ‘alarm’ sekiranya mendapati wujud kapal yang mencurigakan berhampiran mereka.
“Untuk memastikan tahap keselamatan berada di tahap maksimum, APMM bercadang untuk menempatkan anggota “Special Task and Rescue Team” secara rambang di kapal komersial yang berdaftar di negara ini pada masa hadapan,” katanya sambil menambah agensi itu menyasarkan untuk menambahkan bilangan anggotanya daripada 5,000 kepada 10,000 menjelang 2020. – BERNAMA