LABUAN – Mangsa ribut di enam kampung di pulau bebas cukai di sini akan menerima bantuan segera, menerusi dana kecemasan yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu mereka yang terjejas dalam bencana itu.
Pegawai khidmat masyarakat Kawasan Parlimen Labuan Basran Yunus berkata dalam kejadian gelombang kedua ribut itu, menyaksikan banyak rumah mengalami kerosakan selepas bumbung rumah diterbangkan ribut pada Jumaat lepas.
Kampung yang teruk terjejas ialah Kg Pantai, Kg Bebuloh, Kg Rancha-Rancha, Kg Tanjung Aru, Kg Saguking dan Bukit Kuda.
Lima belas gerai bazar Ramadan di Pasar Sentral Labuan juga mengalami kerosakan teruk.
Sekurang-kurangnya 23 rumah mengalami kerosakan pada 4 dan 5 Julai, selepas 14 kampung dilanda ribut, manakala hampir 30 gerai bazar Ramadan di Labuan Walk juga diterbangkan angin.
“Mangsa gelombang ribut pertama itu telah menerima bantuan daripada pejabat kami dan pelbagai agensi dalam bentuk bahan binaan rumah dan wang tunai, manakala bantuan untuk mangsa ribut terbaru dalam perancangan,” katanya. – BERNAMA