IPOH – Peranan Klinik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang membimbing dan memberi kefahaman kepada peniaga serta orang ramai mengenai sistem pencukaian negara akan diperluas di seluruh negara mulai 1 Ogos ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata Klinik GST itu akan diwujudkan di setiap pejabat negeri Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) di seluruh negara.
“Klinik GST telah ditubuhkan di Melaka dan Perak. Klinik ini memberi khidmat nasihat percuma kepada peniaga dan rakyat secara umum yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai GST, memberi cadangan serta membantu mengisi borang dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata pegawai yang ditempatkan di klinik tersebut akan membantu pelanggan melaksanakan perkara berkaitan GST termasuk pendaftaran, penyata GST dan lain-lain.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Program GST Bersama Pelanggan di pejabat negeri JKDM Perak di sini, hari ini.
Ditanya mengenai perbezaan antara Klinik GST dan Kiosk GST yang diwujudkan, Ahmad berkata Kiosk GST menawarkan perkhidmatan yang agak terhad berbanding Klinik GST yang menawarkan perkhidmatan lebih mendalam dan boleh membantu menyelesaikan masalah teknikal.
“Di klinik, kita menempatkan pegawai yang mempunyai kepakaran untuk memberi penjelasan kepada pembayar cukai. Kita memberi kefahaman yang mendalam supaya mereka (pelanggan) dapat menjalankan sesuatu urusan terutamanya mengenai pendaftaran dan maklumat penyata yang lebih lengkap,” katanya.
Mengenai GST Bersama Pelanggan, Ahmad berkata program yang bermula 8 Jun hingga 3 Julai lepas itu telah melibatkan 17 sektor perniagaan di seluruh negara.
“Mengikut statistik JKDM, sebanyak 5,660 syarikat di seluruh negara telah menghadiri program ini, daripada jumlah itu, sebanyak 5,118 syarikat hadir untuk mendapatkan khidmat nasihat, 493 syarikat menghantar penyata GST-03 dan selebihnya membuat pendaftaran GST,” katanya.
Mengenai prestasi penghantaran penyata GST-03 pada Jun lepas, Ahmad berkata sebanyak 64,864 daripada 72,041 syarikat telah mengemukakannya dan ia mencerminkan hasil usaha JKDM dalam memberi bimbingan dan kefahaman kepada syarikat yang terlibat.
“Adalah diharapkan prestasi penyerahan penyata GST-03 bagi Julai ini akan lebih meningkat, ia akan melibatkan penghantaran 340,549 penyata GST-03,” katanya.
Beliau mengingatkan sekiranya syarikat gagal mengemukakan penyata GST mengikut tempoh yang ditetapkan, tindakan undang-undang mengikut Seksyen 41(6) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 boleh diambil terhadapnya, iaitu boleh dikenakan hukaman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – BERNAMA