PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak terbabit dalam soal menentukan turun atau naik harga minyak petrol dan diesel, kata menteri baharunya Datuk Hamzah Zainudin.
Beliau berkata kementerian itu berfungsi untuk melihat dari segi penerimaan pengguna tentang harga sama ada patut naik atau turun.
“Kita memberi input, tetapi keputusan bukan daripada kita,” kata beliau yang ditemui media ketika melapor diri untuk memulakan tugas di kementerian yang diterajuinya itu di sini hari ini.
Mengulas penyebaran berita kenaikan harga minyak di media sosial sejak semalam, Hamzah berkata: “Kita tidak tahu sama ada keputusan berapa harga minyak petrol dan diesel. Sudah dua bulan, kementerian juga tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai perkara ini.”
Hamzah, yang sebelum itu diberi taklimat mengenai kementerian itu, berkata cetak rompak, anti-pencatutan dan masalah fahaman mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di kalangan rakyat merupakan antara isu yang menjadi tumpuan utama beliau kerana ia melibatkan mesyarakat dan rakyat.
Beliau berkata isu khusus seperti Akta Syarikat dan Akta Koperasi juga akan dikaji untuk ditambah baik dalam menjadikannya satu lagi enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Alias Ahmad. – BERNAMA
https://youtu.be/Y04tPEb74U8