BERIKUTAN gesaan pemimpin pembangkang yang mengaitkan kematian pengasas Ambank pada 2013 mempunyai kaitan dengan isu 1MDB, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak tanggapan yang sama sekali tidak berasas itu.
Menurutnya, kematian Hussein Ahmad Najadi tidak ada kena mengena dengan isu 1MDB dan pihak polis akan menyiasat dan mencari dalang yang menyebarkan dakwaan tidak bertanggungjawab itu.
Memetik Rakyat Post, Khalid berkata, “Kematian pengasas AmBank tiada kaitan dengan isu kontroversi 1MDB dan ini adalah dakwaan yang tidak bertanggungjawab”.
Semalam, Lim Kit Siang menggesa KPN agar membuka semula kertas siasatan mengenai kes pembunuhan Hussein yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013.
Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Hussein dikatakan telah pergi melaporkan kepada Bank Negara mengenai sejumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2013.
Untuk rekod, Hussein maut di tempat kejadian sementara isterinya, Chong Mei Kuan cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat berdekatan tempat letak kereta di sebuah kuil Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC
Oleh:  JULIANA JOHAR
Pengasas AmBank mati ditembak