MELAKA – Pusat Zakat Melaka (PZM) mencatatkan peningkatan 26.48 peratus kutipan zakat antara Januari hingga 3 Julai kepada RM30.3 juta berbanding RM24 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata dalam tempoh tersebut, bilangan pembayar zakat meningkat 10.97 peratus tahun ini kepada 29,772 orang daripada 26,830 pembayar tahun lepas.
Dalam satu kenyataan selepas penyerahan zakat korporat di sini hari ini, beliau berkata zakat pendapatan mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM16 juta berbanding lebih RM12 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak tujuh agensi korporat menyerahkan zakat sebanyak RM421,296.20 kepada Idris di Seri Negeri di sini hari ini.
Menurut Idris kutipan zakat perniagaan meningkat 32.11 peratus iaitu RM6.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu RM4.75 juta.
Bilangan pembayar zakat perniagaan turut meningkat 20.8 peratus kepada 644 agensi tahun ini dari 533 tahun lepas.
Zakat emas perak turut mencatatkan peratusan peningkatan kutipan tertinggi iaitu 43.64 peratus kepada RM284,192.43 berbanding RM197,844.64 dalam tempoh sama tahun lepas.
Manakala kutipan zakat terendah adalah zakat ternakan dengan jumlah RM28,900 tahun ini. – BERNAMA