PENUMPANG Transit Aliran Ringan (LRT) hari ini digemparkan dengan dua kejadian kebakaran berlainan apabila satu daripada empat gerabak tren itu terbakar sehingga mengeluarkan asap tebal.
BACA: Gerabak Tren LRT Terbakar Dekat Stesen Setiawangsa
Dalam kejadian pertama, sebuah gerabak tren di Stesen Setiawangsa dilaporkan terbakar kira-kira jam 8.30 pagi tadi hingga menyebabkan sistem pengangkutan itu terpaksa dihentikan.
Namun, malang sememangnya tidak berbau apabila sekali lagi insiden sama kembali berulang kira-kira jam 12 tengahari apabila sebuah lagi tren berdekatan Stesen Universiti turut terbakar.
Menerusi laman Twitter RapidKL, dua insiden itu disahkan berlaku disebabkan oleh masalah brek.
Dalam pada itu, beberapa netizen dipercayai penumpang LRT turut berkongsi pengalaman masing-masing mengenai insiden itu menerusi Twitter.
Seorang penumpang, Naaman Foong mengakui terperangkap dalam keretapi yang berbau asap dan perkhidmatan pengangkutan itu tertangguh selama 15 minit.
Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penumpang yang menaiki gerabak berkenaan telah dipindahkan ke gerabak yang lain.
Difahamkan sekitar jam 3 petang tadi, perkhidmatan LRT sudah kembali pulih dan beroperasi seperti biasa. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE