IPOH – Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah, empat tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap S. Muniandy, 33, setelah mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Tertuduh turut didenda RM70,000 atas kesalahan memiliki dadah dan diperintah menjalani hukuman penjara dua tahun jika gagal membayar denda itu.
Dalam penghakimannya, Noorin mendapati kesemua keterangan dibuat tertuduh adalah bersifat penafian semata-mata dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Katanya, alasan tertuduh mengatakan dia tidak mengetahui lelaki yang memasuki ke rumahnya merupakan polis adalah tidak munasabah sama sekali kerana saksi keenam dan ketujuh mengesahkan pihak polis ada menjerit ‘kami polis’ semasa menyerbu rumah itu. – BERNAMA