SEORANG lelaki yang hidup gelandangan kini menjadi sensasi internet selepas rakaman videonya bermain piano di tepi jalan telah viral dan mendapat perhatian pengguna media sosial.
Video Donald Gould, 51, yang bermain piano komuniti di Sarasota, Florida, telah mendapat perhatian kerana tekniknya yang bagus, dia bermain piano itu setiap hari supaya dapat membeli makanan dengan wang yang diperolehi.
Donald pernah berkhidmat di United States Marine Corps, di mana dia bermain klarinet dan pernah menjelajah ke serata dunia bersama kumpulan muziknya ketika itu.
Dia juga boleh bermain pelbagai jenis alatan muzik dari piccolo hinggalah ke tuba dan Donald juga pernah menuntut di Universiti Spring Arbor dalam bidang muzik serta bercita-cita untuk menjadi guru.
Walaubagaimanapun, Donald terpaksa berhenti belajar kerana tidak mampu untuk membayar kos pengajian dan terpaksa bekerja di beberapa tempat.
https://www.youtube.com/watch?v=JCguq3hTC2M
Lelaki yang mempunyai bakat semula jadi itu juga pernah berkahwin dan memiliki seorang anak namun isterinya telah meninggal dunia secara tiba-tiba pada tahun 1998 dan menyebabkan dirinya hilang arah.
Menghadapi tekanan dalam hidup serta terjebak dalam penyalahgunaan dadah, Donald telah hilang hak penjagaan anaknya dan dia mula hidup secara gelandangan selama 7 tahun selepas hilang pekerjaan.
Kini, hidup Donald kembali disinari harapan baru kerana dia ditawarkan pekerjaan sebagai pemain piano di sebuah bar di Sarasota dan pengutipan dana telah dilakukan untuk membantu Donald menamatkan pengajiannya di Universiti. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: Syfq Akhir
https://www.youtube.com/watch?v=O3wb-Yt1V9Y
Sumber: The Telegraph