KUALA LUMPUR – Pendahulu Liga Super, Pahang terpaksa bangkit pada separuh masa kedua sebelum melakar kemenangan selesa 3-1 ke atas Selangor pada aksi di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad Tok Gajah mengekalkan kedudukan pendahulu dengan kutipan 30 mata, berkelebihan dua mata ke atas pencabar terdekat, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turut meraih tiga mata penuh.
Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Pahang dikejutkan dengan jaringan awal Selangor seawal minit kelima menerusi tandukan Robert Cornthwaite hasil sepakan percuma daripada Andik Vermansah.
Skuad Tok Gajah bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Zesh Rehman pada minit ke-51, Matias Conti (59′) dan Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-68 perlawanan.
JDT pula terus menghambat kedudukan Pahang di puncak liga selepas menang tipis 2-1 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Pemain tengah kebangsaan, Safiq Rahim meletakkan skuad Harimau Selatan 2-0 di hadapan menerusi jaringan seawal minit keempat dan minit ke-54 sebelum PDRM merapatkan defisit jaringan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Dramane Traore pada minit ke-82.
Perak pula memintas kedudukan Selangor di tangga ketiga selepas menundukkan pasukan bawahan liga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.
Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari meletakkan skuad ‘The Bos Gaurus’ di hadapan menerusi jaringan pada minit ke-21 sebelum Venice Elphi menjaringkan gol penyamaan untuk ATM pada minit ke-42.
Pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong menghadiahkan kemenangan untuk Perak setelah meledak jaringan kemenangan pada minit ke-65.
Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, pasukan Terengganu menerima tentangan sengit dari Sarawak sebelum menang 4-2.
Empat gol skuad Penyu dijaringkan oleh Mohd Fakhrurazi Musa pada minit ke-23, Ismail Faruqi Ashari (minit ke-33′ dan 63′) selain gol sendiri pemain Sarawak, Neyma Patrick Gerhardt yang tertampan percubaan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-84.
Sarawak meraih jaringan menerusi pemain import dari Australia, Ryan Griffiths seawal minit kelapan dan Ivan Fatic pada minit ke-53.
Pertermbungan dua pasukan kelab Lembah Klang iaitu Felda United FC (FUFC) dan Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang berkesudahan seri 2-2.
FUFC meraih jaringan menerusi pemain import dari Liberia, Zah Rahan Krangar pada minit ke-33 dan Hadin Azman pada minit ke-81.
Dua gol Sime Darby disumbangkan oleh Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke- 27 dan Marko Perovic pada minit ke-44.
Dalam pada itu, Kelantan terus ditimpa malang setelah kalah 3-0 kepada wakil Singapura, Lions XII pada aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Pemain Bawah 23 Singapura, Muhammad Faris Ramli meraih dua jaringan pada minit ketiga dan minit ke-83 serta gol daripada Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal pada minit ke-79. – BERNAMA