Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Suspek Salafi Jihadi Meninggal...

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Perancis yang disyaki terlibat fahaman Salafi Jihadi...

Tindakan Sewajarnya Jika Susu...

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya jika disahkan susu rumusan bayi...

Beberapa Kawasan Di Perak...

IPOH - Beberapa kawasan di Gerik, Lenggong dan Batu Gajah dilanda banjir kilat...

Krisis Air Selangor Kritikal,...

PARAH... Krisis air di Selangor kini semakin serius susulan lima orang petugas yang...

MH17: Malaysia Komited Cari Kebenaran – PM

SEPANG – Pasukan penyiasatan kini mempunyai gambaran lebih jelas mengenai kemungkinan punca tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dengan Belanda selaku penyelaras dan dianggotai negara Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, sedang meneliti dan menyiasat semua senario dengan terperinci.

“Kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan,” katanya pada upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Majlis itu dihadiri waris dan anggota keluarga mangsa MH17 dan warga MAS.

Hadir sama termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; menteri-menteri Kabinet, pemimpin-pemimpin agama dan perwakilan-perwakilan asing.

Najib berkata kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan dan ia dipertanggungjawabkan kepada perkhidmatan polis dan pihak pendakwaan bagi mengumpul nahas bukti dalam mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab terhadap nahas MH17.

“JIT menjangkakan siasatan akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini,” katanya.

Najib berkata tujuan penyiasatan jenayah yang sedang dijalankan adalah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan insiden malang itu ke muka pengadilan dan semua mekanisme pendakwaan juga sedang dipertimbangkan.

“Walau bagaimanapun, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat disahkan. Namun begitu, kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.

“Kita akan memastikan pihak yang bertanggungjawab ini menerima hukuman yang setimpal,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata Malaysia telah membentangkan satu pelan resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa tribunal antarabangsa bagi membawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ke muka pengadilan.

Beliau berkata usul resolusi dan tribunal jenayah terbabit melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB untuk proses undian dilaksanakan.

“Kita berharap agar dengan gesaan berterusan kerajaan Malaysia melalui platform-platform antarabangsa sebegini akan sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan rakan mangsa dalam menyampaikan keadilan kepada mereka.


“Ini penting agar ahli keluarga mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka secara sebaik mungkin meskipun setelah kehilangan orang yang amat disayangi,” katanya.

Najib berkata maklumat penuh kejadian ini amat penting supaya waris keluarga terdekat dapat meneruskan kehidupan mereka.

“Oleh itu, tindakan muktamad dalam mencari mereka yang bertanggungjawab dan membawa mereka ke muka pengadilan mesti dilakukan,” katanya.

Beliau menggesa negara-negara berkenaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya untuk mengumpul bukti yang tidak dapat disangkal berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Najib berkata Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) dijangka menerbitkan laporan akhir insiden kemalangan MH17 pada awal Oktober depan.

Beliau berkata DSB yang dipertanggungjawabkan mengendalikan dan menjalankan siasatan berdasarkan piawaian dan ketetapan di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Beliau berkata pasukan siasatan yang terdiri daripada pakar-pakar dari Malaysia, Ukraine, Amerika Syarikat, Rusia, United Kingdom, Australia dan Belanda telah menerbitkan laporan awal yang mengandungi penemuan awal mengenai kemalangan pesawat pada September tahun lalu.

Sehubungan itu, Najib berkata draf laporan akhir siasatan ke atas kemalangan dan penyiasatan yang berkaitan dengan laluan penerbangan telah diedar kepada wakil bertauliah bagi setiap negara yang terlibat dalam pasukan penyiasatan pada 2 Jun lalu.

“Wakil-wakil bertauliah ini mempunyai 60 hari untuk mengemukakan komen terhadap laporan tersebut,” katanya.

Najib memberi jaminan bahawa Malaysia komited memberi kerjasama penuh dalam siasatan bagi mendapatkan kebenaran dan keadilan terhadap insiden malang itu lebih-lebih lagi kepada ahli keluarga dan rakan taulan penumpang, anak kapal MH17.

“Justeru, kepada keluarga mangsa tragedi MH17, usahlah merasa bimbang, kerana selagi jawapan belum ketemu, selagi itulah kita tidak berhenti mencari kebenarannya. Sesusah dan sepayah mana pun, keadilan yang dituntut, pasti akan kita kembalikan kepada keluarga dan rakan taulan mangsa,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori