BINTANG Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh dilaporkan sudah bersedia untuk berkahwin dengan tunangnya, Jean Todt dalam waktu terdekat.
Bagaimanapun aktres berusia 52 tahun ini memaklumkan mereka masih belum menentukan tarikh rasmi majlis perkahwinan namun berharap ianya bakal berlangsung akhir tahun ini atau awal tahun 2016.
“Kami merasakan kini sudah sampai masanya untuk berkahwin dan saya akan memaklumkan kepada orang ramai sekiranya tarikh perkahwinan sudah ditetapkan kelak.
“Cukuplah sekadar majlis ‘simple’ (ringkas) yang dihadiri oleh teman dan saudara rapat saja,” katanya.
Sebelum ini Michelle dan Jean yang juga Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) terpaksa menangguhkan perkahwinan mereka selepas bapa pelakon itu, Datuk Yeoh Kian Teik meninggal dunia tahun lalu akibat sakit tua.
Dalam pada itu, Michelle memberitahu mereka masih belum membuat keputusan berhubung lokasi perkahwinan itu bakal diadakan namun berharap dapat mengadakan majlis sederhana di Malaysia dan Hong Kong.
Pasangan ini mengikat tali pertunangan sejak tahun 2005. – Agensi/MYNEWSHUB.CC
Oleh: CARRIE