MELAKA – Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Melaka hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan jemaah menteri baharu.
Pemangku Yang Dipertua Mubarak Melaka Datuk Nazari Adzim berkata perubahan yang dilakukan Najib bertujuan memantapkan barisan kepimpinan dalam proses membangunkan negara bagi mencapai status negara maju menjelang 2020.
Mubarak Melaka juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri dan diharap dapat membantu Najib membangunkan negara dan menyelesaikan masalah yang berlaku, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Selain itu, Mubarak Melaka mengucapkan tahniah kepada Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin yang terus memberi sokongan kepada kepimpinan parti.
” Kami yakin jika semua pemimpin parti ikut cara beliau, UMNO akan bertambah kuat pada masa depan…ia adalah contoh terbaik perlu diteladani pemimpin,” katanya.
Sementara itu, Nazari berkata pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula cara pembayaran elaun bekas wakil rakyat di negeri itu.
Menurutnya setakat ini, elaun yang diterima bekas wakil rakyat adalah RM3,000 sebulan dan ada daripada mereka tidak menerima elaun kerana tempoh perkhidmatan tidak mencukupi.
“Jadi, saya meminta kerajaan negeri mengkaji semula pembayaran supaya bekas wakil rakyat dapat menerima pencen separuh daripada elaun semasa dan terlepas daripada garis kemiskinan,” katanya.
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Isnin lepas meluluskan Enakmen Ahli Pentadbiran dan Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2015 yang menyaksikan kenaikan elaun Anggota Dewan Udangan Negeri (ADUN) sebanyak 12.5 peratus kepada RM9,000 sebulan berkuat kuasa 1 Jan lepas.
Kenaikan saraan itu melibatkan 106 pesara ADUN yang menerima kenaikan berdasarkan tahun perkhidmatan mereka. – BERNAMA
https://www.youtube.com/watch?v=6AcVubGjENw