KUALA LUMPUR – Ratu squasy Malaysia Datuk Nicol David mengekalkan kedudukannya sebagai pemain wanita nombor satu dunia untuk tempoh mengagumkan selama 108 bulan berdasarkan ranking terbaru Women’s International Squasy Player Association (WISPA) bagi Julai, yang dikeluarkan hari ini.
Pencapaian itu menyaksikan pemain berusia 31 tahun dari Pulau Pinang itu menyambut penguasaan berterusannya sebagai pemain nombor satu sejak Januari 2006, dengan aneka gelaran berprofil tinggi termasuk lapan Kejohanan Dunia.
Beliau berada di kedudukan teratas dari Januari hingga Mac 2006 sebelum Vanessa Atkinson dari Netherlands mengambil alih tempat selama empat bulan hingga Julai, sebelum Nicol merampas kembali mahkota dari Ogos 2006 hingga sekarang.
Nicol, yang mengumpul sejumlah 3,241 mata berdasarkan ranking terbaru, berkata beliau merasa begitu disanjung berada di kemuncak selama sembilan tahun berturut-turut.
Di laman web squasy, www.squasyinfo.com. Nicol menarik perhatian bahawa tahun ini merupakan tahun menyeronokkan dengan setiap pemain berusaha keras dalam pertandingan, tetapi katanya, beliau sedang menunggu-nunggu cabaran itu.
Pesaingnya, pemain Mesir Raneem El Weleily telah merapatkan jurang hanya 43 mata, dengan mengumpul 3,198 mata, berikutan kejayaannya merangkul kejuaraan Antarabangsa Alexandria di tempatnya sendiri pada Jun.
Johan Terbuka British 2015 Camille Serme dari Perancis juga mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dengan 1,668 mata. – BERNAMA