KUALA LUMPUR – Satu mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan diadakan esok bagi membincangkan perkembangan terkini isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin, hari ini.
Beliau yang juga merupakan anggota Jawatankuasa PAC meminta orang ramai supaya tidak terburu-buru mempercayai sumber berita yang tidak sahih yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mas Ermieyati berkata orang ramai harus bertenang dan tidak terpengaruh dengan spekulasi tentang segala keadaaan yang dihadapi negara ketika ini.
“Orang ramai mesti bertenang dan mengkaji sumber yang mereka peroleh supaya tidak terpedaya atau terpesong dengan mana-mana maklumat yang palsu dan tidak sahih.
“Saya meminta supaya mereka membuat pemerhatian dan pertimbangan yang bijak dalam menilai supaya tidak tertipu dengan sumber yang tidak benar, malahan mereka sepatutnya selalu meneliti segala maklumat yang diterima,” katanya kepada pemberita semasa majlis berbuka puasa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan mahasiswi, di sini.
Beliau juga menasihatkan supaya semua pihak memberikan peluang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan penuh integriti tanpa gangguan pihak luar.
“Kita perlu beri kepercayaan dan ruang yang sepatutnya kepada pucuk pimpinan untuk selesaikan masalah yang sedang berlaku agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan keadaan dapat segera kembali seperti sedia kala,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata negara kini sudah berada di atas landasan yang cukup tepat untuk mencapai status negara maju tidak lama lagi, oleh itu sebarang ancaman dalam melemahkan usaha ke arah mencapai status ini harus dibanteras.
“Untuk memiliki status negara maju yang merupakan satu aspirasi sejak sekian lama, kita haruslah bersungguh-sungguh dalam mengejar impian ini dan janganlah kita tertewas dengan apa jua halangan yang dicetuskan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya. – BERNAMA