PEMACU ibu jari atau lebih dikenali dengan nama “pendrive” kini digunakan secara meluas dan menggantikan cakera padat sebagai medium pemindahan data.
Kerana harganya yang semakin murah ia diberikan secara percuma kepada pengamal media oleh pengeluar dengan maklumat terkini produk terkini mereka.
Pemindahan data ke dalam pemacu ibu jari juga jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan menghasilkan cakera padat data.
Tetapi sekiranya anda memiliki peranti pintar, pemacu ibu jari biasa tidak boleh disambung dengan mudah tanpa menggunakan penyesuai.
Terdapat pengeluar menghasilkan pemacu jari ini dengan menggunakan teknologi MikroUSB tetapi ia masih belum digunakan secara meluas.
SanDisk menyelesaikan masalah ini dengan menghasilkan pemacu ibu jari tanpa wayar Connect Wireless Stick.
Data boleh dipindahkan dari pemacu tanpa wayar ini terus kepada peranti pintar ataupun komputer tanpa sambungan fizikal.
Pemindahan dilakukan sepenuhnya menggunakan WiFi. Sebanyak tiga peranti boleh ditambat kepada pemacu ini secara serentak untuk pemindahan data.
Sekiranya diperlukan, pemacu ibu jari ini masih boleh dipasang kepada port USB untuk pemindahan data pada kelajuan USB 2.0.
Bateri pemacu ini juga dicas dengan menyambungkannya kepada port USB.
Pemacu ibu jari ini direka untuk peranti Android, iOS, Windows dan Mac. Pilihan muatan dalaman ialah 16, 32. 64 dan 128 Gigabyte. Harga jualan bermula dari USD40 (RM13) sebuah. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Sandisk
Oleh: hzq