DUBAI – Polis tempatan Dubai terpaksa menjalankan satu kempen aneh antipengemis secara intensif sejak 7 Jun lalu dan hasilnya amat mengejutkan apabila mereka mendapati peminta sedekah itu hidup lumayan.
Bayangkanlah kebelakangan ini ramai pengemis yang kebanyakannya warga asing, menurut laporan akhbar tempatan, Emarat Al Youm, mampu tinggal di hotel lima bintang di wilayah Emiriah Arab Bersatu itu.
Paling memeranjatkan pihak berkuasa sendiri, mereka masuk ke negara itu dengan hanya menggunakan visa perniagaan, kata Pengarah Polis Pelancongan Dubai, Kolonel Mohammed Rashid Al Muhairi.
Polis Dubai setakat ini sudah berjaya menangkap 70 pengemis yang biasanya berdiri di depan masjid, pusat beli-belah dan berkeliaran di jalanan dengan memakai baju yang sesuai dengan tempat mereka mengemis.
Dalam satu operasi ujar Mohammed, polis mencekup seorang wanita keturunan Arab yang kemudian memohon simpati untuk tidak ditahan kerana mendakwa ada empat orang anak yang masih kecil lagi.
Setelah disiasat, polis mendapati bahawa anak-anak wanita itu berusia antara tiga dan sembilan tahun tetapi mereka pula mampu tinggal bersendirian dalam sebuah bilik di sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Wanita itu mendakwa berjaya masuk ke Dubai dengan cuma visa perniagaan dan membayar harga hotel setiap hari. Polis merampas wang bernilai 13,000 dirham (RM13,310) daripada wanita tersebut.
Pengemis berkenaan mengaku suaminya mengalami masalah dan dia memberi alasan terpaksa datang ke Dubai untuk mengemis agar dapat wang. Kes wanita itu kini sudah dibawa ke mahkamah. – Agensi/Mynewhub/HAA