KOTA TINGGI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor berharap para perniaga dapat mematuhi peraturan serta harga yang telah ditetapkan sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bermula hari ini.
Pengarah KPDNKK negeri Nor Nekman Jaimon berkata bagi negeri Johor, hanya 19 barangan yang termasuk dalam senarai skim kawalan harga berbanding 21 barangan di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, di peringkat negeri, majlis pelancaran skim itu akan diadakan esok sebelum diikuti pelancaran di peringkat cawangan.
Nor Nekman berkata skim kawalan itu bertujuan untuk memastikan harga yang ditawarkan kepada pengguna terutama barang keperluan untuk musim perayaan adalah pada kadar berpatutan selain mahu memastikan bekalan mencukupi.
“Selain pendekatan dengan perniaga, kita juga buat jalinan yang sama dengan para pengguna dengan mengedarkan risalah kepada orang ramai,” katanya selepas melakukan tinjauan harga barangan bersama penguatkuasa dan kakitangan Pejabat KPDNKK cawangan Kota Tinggi di Pasaraya Econsave di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata hasil tinjauan yang dilakukan di pasar raya berkenaan mendapati harga yang ditawarkan lebih rendah daripada skim kawalan harga yang ditetapkan.
Nor Nekman berkata kerjasama pihak perniaga dan pasar raya dalam membantu kerajaan dengan menjual barang kawalan dengan harga yang lebih rendah sangat dialu-alukan bagi meringankan beban orang ramai dalam membeli barang keperluan sempena musim perayaan ini. – BERNAMA