PENYANYI veteran, Samsudin Lamin, 76 dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi di rumah kediamannya di Kampung Setia, Batu 18, Rawang, Selangor.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 7.40 pagi akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Menurut isterinya, Yunetta Yusof, 57, kondisi kesihatan Allahyarham semakin buruk semenjak terjatuh pada 28 Mac lalu hingga mengakibatkannya tidak mampu berjalan, selain berlaku jangkitan kuman pada paru-paru.
“Sejak jatuh itu, dia ada beberapa kali dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan pagi tadi juga kami sudah panggil ambulans untuk membawanya ke hospital, namun doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia di rumah,” ujarnya kepada mStar Online.
Bercerita detik sebelum kejadian, Yunetta memberitahu Allahyarham mengadu sesak nafas sebelum rebah di pangkuannya.
“Saya tidak menyangka sebab pada mulanya dia hanya mengadu sesak nafas dan tiba-tiba pengsan di pangkuan saya. Apabila doktor datang arwah sudah pun meninggal dunia,” katanya.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan selepas Zuhur di Tanah Perkuburan Batu 20, Kuang, selepas dimandikan di Masjid Kampung Setia.
Samsudin Lamin terkenal dengan lagu-lagu Melayu asli antaranya Titisan Embun Pagi, Seri Siantan dan Bukit Malawati. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online