Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Amaran Ribut Petir Di...

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi negeri...

Yuna Raikan Hari Jadi...

PETALING JAYA - Penyanyi Yuna berkongsi kegembiraan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28...

Tips Siswa: Jangan Joli...

APABILA berkaitan duit, kita semua tahu bahawa orang ramai mempunyai kaitan rapat dengannya...

Majlis Kaji Dana Politik...

KUALA LUMPUR - Sebuah majlis kebangsaan mengenai dana politik mungkin dibentuk dalam tempoh...

Perlukah Balik Kampung Untuk Beraya?

KUALA LUMPUR – “Kalau raya Jumaat, Khamis malam baliklah. ” “Berapa lama cuti?” “Balik mana tahun ni?” Perbualan rakan sepejabat ini semakin rancak.

Nampak gaya topik sudah bertukar. Kalau pada awal Ramadan, mungkin ramai yang sibuk bertanya “apa nak makan untuk buka puasa” atau “nak pergi pasar Ramadan mana hari ni?”

Semakin dekat lebaran, semakin ramai yang mungkin tidak sabar-sabar memulakan perjalanan “balik kampung”.

SERONOKNYA BALIK KAMPUNG

Hendak tahu seronok atau tidak balik kampung, dengar sahaja lagu “Balik Kampung” dendangan penyanyi yang juga penghibur nombor satu tanah air, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.

Perjalanan jauh tak ku rasa
Kerana hati ku melonjak sama
Ingin berjumpa sanak saudara
Yang selalu bermain di mata

Nun menghijau gunung ladang dan rimba
Langit nan tinggi bertambah birunya
Deru angin turut sama berlagu
Semuanya bagaikan turut gembira

Balik kampung ho ho
Balik kampung ho ho
Balik kampung …
Hati girang

Mendengar sahaja lagu ini, pasti perasaan membuak-buak mahu segera balik kampung.

Yang memang wajib balik kampung ini, mungkin sudah merancang untuk bercuti raya sebelum tiba Ramadan lagi bagi memudahkan urusan perjalanan, permohonan cuti dan mungkin juga untuk menyediakan bajet.

Balik kampung, bagi mereka satu tradisi yang menjadi kemestian dan satu kepuasan, kesempatan merakam memori indah, bersama ibu ayah, adik-beradik dan sanak saudara.

Untuk yang tidak dapat balik, mungkin air mata sahaja yang menemani kesedihan hati terutamanya apabila mendengar takbir raya atau dendangan lagu “Suara Takbir” dan “Dendang Perantau” oleh biduan negara P. Ramlee.

FAKTOR IBU BAPA

Kebanyakan rakan FB penulis yang diajukan soalan “Perlukah Balik Kampung Untuk Beraya senada memberikan jawapan “Wajib atau Perlu Sangat”.

Bagi mereka, tujuan utama balik kampung adalah untuk bertemu emak dan ayah.
Ustaz Nur Syamsul Abd Roni, Penolong Hal Ehwal Islam, Unit Pendidikan, Masjid Negara memberitahu Bernama, emak dan ayah adalah harta paling bernilai di muka bumi ini.

Seorang anak, tambahnya wajib berjumpa emak ayah di pagi raya untuk mendapatkan keampunan.

“Bagi kita yang duduk di perantauan, inilah masanya wajib balik jumpa emak ayah.

“Tidak ada kegembiraan yang lebih hebat selain daripada berjumpa emak dan ayah. Hatta orang yang sudah tidak ada emak dan ayah, di pagi raya orang yang mereka akan ingat ialah emak dan ayah,” katanya.

Untuk mereka yang mungkin menjadikan GST, kenaikan kos sara hidup atau hendak berjimat sebagai alasan tidak balik kampung, beliau berkata restu doa emak dan ayah membawa keberkatan rezeki.

“Rezeki dari Allah. Hari raya baliklah, kegembiraan emak ayah terpancar jelas menunggu kepulangan anak dan cucu,” kata Nur Syamsul.

PERLU RANCANG

Balik kampung bagi mereka yang sudah berkeluarga memerlukan lebih sedikit perancangan berbanding yang bujang.

Pasangan suami isteri yang berlainan kampung terutamanya pandai-pandailah mengatur supaya balik kampung tidak menjadi isu “perang besar atau punca bercerai-berai.”

“Bila sudah berkahwin, memanglah sangat berbeza. Masa bujang senang sahaja saya balik kampung naik ETS (electric train service). Sejam lebih dah sampai,” kata penjawat awam, Nana Deeyana yang berasal dari Ipoh, Perak.

Memandangkan suami Nana berasal dari selatan tanah air, Johor Baharu, pasangan ini akan balik kampung mengikut giliran.

“Tahun lepas saya balik ke rumah emak mentua di Johor Baharu dan hanya balik ke Ipoh pada hari raya ketiga.

“Balik ke Johor Baharu tak teruk sangat. Balik ke Ipoh jalan jem. Semuanya kena rancang betul-betul untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan, ” kata Nana yang menambah baginya suasana malam raya yang paling nostalgik.


“Emak dan opah bergotong royong masak macam-macam. Makanan wajib hari raya di Ipoh ialah ketupat palas, lemang dan rendang tok,” katanya.

MENGIMBAU KENANGAN SILAM

Bagi Akmar Farwiz, 30-an, beraya di kampung satu kemestian meskipun kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia.

Banyak kenangan beraya di kampung yang masih segar dalan ingatan anak muda yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini.

Emak Akmar meninggal dunia akibat sakit ahmar pada tahun 1995. Ketika itu, beliau sedang mengikuti kursus persediaan di UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Ayahnya pula kembali ke rahmatullah pada bulan Mac tahun ini.

“Bagi saya hari raya meriah bila ada keluarga. Walaupun orang tua sudah tiada saya masih balik ke kampung kerana pusara ayah dan ibu ada di sana.

“Lagi pun banyak kenangan dan saya masih ada ibu tiri yang menjadi tanggungan saya di samping keluarga arwah abang saya yang sulung,” kata Akmar, anak bongsu daripada empat beradik ini.

Antara suasana hari raya yang begitu nostalgik bagi Akmar ialah kemeriahan rumah yang dipenuhi anak-anak murid emak dan ayahnya.

“Emak dan ayah adalah guru sekolah. Jadi bila hari raya meriahlah anak-anak murid datang dengan ibu bapa mereka sekali,” kata Akmar yang pernah mengikuti pengajian perpustakaan dan sains maklumat di Jepun.

Juadah hari raya yang biasa dimasak ibu Akmar ialah lontong dan kuah lemak kuning yang dicampur fucuk, tauhu, tempe dan kacang panjang.

“Ayah saya orang Melaka. Mungkin di rumah kami ini satu-satunya rumah di Kelantan yang masak lontong,” katanya.

Banyak lagi kenangan manis beraya di kampung mengusik emosi Akmar menjelang lebaran.

“Emak dan ayah selalu bawa kami empat beradik berjalan naik kereta masuk kampung beraya di rumah kenalan mereka.

“Di kampung tak banyak boleh kutip duit raya tapi seronok dapat makan macam-macam kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok bunga dan jala mas,” katanya.

LEBIH MERIAH

“Suasana hari raya di kampung lebih meriah kerana ada orang tua, saudara mara dan jiran tetangga.

“Hari raya juga memberi peluang untuk mendampingi orang tua, saudara mara demi memupuk hubungan kekeluargaan” ini pula pandangan LH Teh, 53, yang berasal dari Kubang Pasu, Kedah.

Meskipun Teh berbangsa Cina tetapi hari raya adalah dekat dengan hatinya kerana beliau membesar di tengah-tengah masyarakat orang Melayu.

Beliau yang juga tidak melepaskan peluang balik kampung apabila cuti raya berkata, berhari raya di kampung mengimbas kembali pengalaman semasa muda yang menyeronokkan.

“Keputusan balik kampung juga mengambiil kira keperluan untuk rileks, berehat dengan harapan melepaskan beban tekanan sama ada tekanan hidup, pekerjaan atau perniagaan.

“Kajian menunjukkan mereka yang tinggal di kota dan bekerja kuat mencari nafkah hidup menghadapi tekanan hidup sehingga menghidap pelbagai penyakit tiga tinggi iaitu darah tinggi, kolesterol tinggi dan gula yang tinggi dalam darah,” katanya.

Menurut Teh, bagi orang Cina, pulang ke kampung sendiri untuk menemui orang tua dan saudara-mara turut mendatangkan semacam kepuasan kepada diri mereka yang berjaya di dalam kerjaya atau bisnes masing-masing.

“Balik ke kampung sepertilah untuk membuat “laporan kejayaan’ masing-masing kepada orang tua dan ahli-ahli keluarga di sana.

“Kejayaan itu tidak perlulah besar sangat atau menggemparkan. Memadailah sekiranya mereka berupaya mencari wang untuk menyara kehidupan keluarga,” katanya. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori