JIKA dalam cakap mudah, tindakan undang-undang sudah bermula, namun disebabkan banyak selok belok perundangan, maka surat pertama yang dihantar oleh peguam, Datuk Mohd. Hafarizam Harun adalah mahu penerbit The Wall Street Journal menyatakan pendiriannya terhadap dua artikel berkaitan dakwaan pemindahan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Tun Razak melalui firma Hafarizam Wan & Aisha Mubarak dalam surat bertarikh 8 Julai kepada Dow Jones and Company Inc., berkata pihaknya mahu “mendapatkan pendirian anda” kerana artikel tersebut secara kolektif “mencadangkan bahawa anda tidak pasti sumber asal wang tersebut dan apa yang berlaku kepada wang itu” sementara di sisi lain, intipati umum artikel itu mewujudkan gambaran jelas bahawa pelanggan kami telah menyalahgunakan wang AS$700 juta milik 1MDB.”
Baca: Peguam PM Hantar Surat Minta Pengesahan Dari WSJ
Berikut ialah kenyataan Perdana Menteri mengenai tindakan beliau ke atas akhbar tersebut yang disiarkan menerusi laman blog rasmi dirinya pada 8 Julai:
1. Saya telah mengarahkan pihak peguam saya menghantar surat kepada Wall Street Journal hari ini bagi meminta pengesahan mengenai laporan surat khabar tersebut sebelum mengambil tindakan undang-undang (surat tuntutan).
2. Sebagaimana arahan saya, surat peguam tersebut meminta Wall Street Journal mengesahkan pendirian akhbar tersebut berikutan laporan yang telah dibuat menuduh saya menyalahgunakan dana USD700 juta milik 1Malaysia Development Berhad.
3. Peguam saya akan mengambil tindakan selanjutnya selepas mendapat pengesahan dari akhbar tersebut.
4. Siasatan sedang dilakukan oleh Pasukan Petugas Khas untuk menentukan sama ada tuduhan yang dibuat oleh Wall Street Journal bahawa saya telah mengambil dana 1 MDB untuk kepentingan diri sendiri berasas atau tidak. Siasatan mesti mengambil kira kesahihan dokumen yang telah disiarkan bagi menyokong tindakan akhbar tersebut.
5. Meskipun begitu, saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa saya tidak pernah mengambil dana 1MDB untuk kepentingan diri sendiri. Tuduhan Wall Street Journal merupakan satu niat jahat yang didokong dan disokong oleh pihak tertentu dalam negara yang bertujuan memaksa saya melepaskan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
– Mynewshub.cc